KUALA LUMPUR 31 Jan - VS Industry Bhd yakin terhadap pertumbuhan perniagaan dalam tahun kewangan semasanya yang berakhir pada 31 Julai 2025 (FY25), disokong oleh pesanan pelanggan stabil, pelancaran produk baharu dan permulaan operasi kilang di Filipina.
Pengerusi Eksekutif Datuk Beh Kim Ling berkata, penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik bersepadu itu optimis untuk memulakan operasi kilangnya di Filipina pada 2025, setelah mendapat tempahan daripada pelanggan utama pada Ogos 2024.
“Kami telah menubuhkan anak syarikat milik penuh kami, VS Industry Philippines Inc (VSIP) bagi merebut peluang dan mengukuhkan lagi kehadiran kami di Asia Tenggara,” katanya dalam laporan tahunan kumpulan.
Menurut VS Industry, pelanggan baharu yang diperolehnya pada Ogos ialah pelanggan sedia ada kumpulan itu di Malaysia.
“Bagaimanapun, identiti dan maklumat lanjut mengenai pelanggan kekal sulit kerana VSIP telah memeterai perjanjian tanpa pendedahan dengan pelanggan tersebut,” kata VS Industry.
Pada suku pertama FY25 (berakhir 31 Oktober 2024), VS Industry mencatatkan keuntungan bersih RM30.6 juta, turun daripada RM48.98 juta setahun lalu.
Di samping itu, pendapatan sesaham susut kepada 79 sen daripada 1.27 sen sebelumnya.
Hasil kumpulan pula mencatat prestasi lebih rendah sedikit pada RM1.11 bilion berbanding RM1.14 bilion pada suku yang sama sebelumnya.
Walaupun mengalami penurunan, VS Industry berkata, kumpulan itu kekal optimistik pada tinjauannya untuk FY25, disokong oleh pelan strategik yang sedia ada.
"Kumpulan itu menjangkakan pesanan jualan daripada pelanggan utama dapat mengekalkan sentimen pengguna yang lebih baik dan pelancaran model baharu," katanya.
Katanya, hasil pengeluaran telah bertambah baik secara beransur-ansur, berikutan sokongan daripada HT Press Work Sdn Bhd (HTPW), yang diperolehnya tahun lepas.
Mengenai perniagaannya di Indonesia, VS Industry menjangkakan prestasi pada FY25 kekal kukuh, berikutan peningkatan pesanan daripada pelanggan.
Syarikat itu menjangkakan momentum yang sihat akan berterusan, dengan perbincangan berterusan dan kemungkinan besar untuk mendapatkan pelanggan baharu, yang akan mempelbagaikan lagi asas pelanggannya.
Bagaimanapun, VS Industry berkata faktor penyederhana seperti ketidaktentuan makroekonomi dan impak pertukaran asing yang timbul daripada ringgit yang lebih kukuh.
Sementara itu, VS Industry berkata, kenaikan gaji minimum yang akan datang daripada RM1,500 kepada RM1,700 juga akan menambah tekanan kepada persekitaran perniagaan. - DagangNews.com








