Permohonan biasiswa Yayasan Sarawak dibuka, keutamaan kepada sains dan teknologi, STEM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permohonan biasiswa Yayasan Sarawak dibuka, keutamaan kepada sains dan teknologi, STEM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUCHING 21 April - Yayasan Sarawak mempelawa calon yang layak untuk memohon tajaan bagi sesi 2026/2027 menerusi Biasiswa Tun Taib Yayasan Sarawak dan Biasiswa Tunku Abdul Rahman Yayasan Sarawak.

 

Yayasan Sarawak berkata, keutamaan akan diberikan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk Kejuruteraan Aeroangkasa dan Teknologi Semikonduktor, Teknologi Maklumat, Perubatan dan Kesihatan, Sains Hayat, Teknologi Makanan, Psikologi dan Kaunseling, Pembinaan dan Pembangunan Tanah, Perakaunan, Kewangan serta Undang-Undang.

 

“Pemohon mestilah rakyat Sarawak (sama ada ibu, bapa atau kedua-dua ibu bapa berasal dari Sarawak), yang sedang mengikuti atau akan melanjutkan pengajian sepenuh masa dalam kursus yang diiktiraf di mana-mana institusi pengajian tinggi di dalam atau luar negara, atau telah menerima surat tawaran kemasukan ke institusi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut yayasan itu, bagi pengajian ijazah pertama, permohonan tajaan hanya dibuka untuk institusi tempatan di Malaysia.

 

Keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam serta institusi swasta milik kerajaan Sarawak.

 

Bagi permohonan tajaan pengajian pascasiswazah di dalam atau luar negara pula, keutamaan akan diberikan kepada institusi terbaik dunia.

 

Keutamaan Tahun 1 dan 2

Pemohon yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi atau telah diterima masuk ke institusi berkenaan perlu memenuhi syarat kelayakan akademik tertentu, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tahun pertama dan kedua.

 

Bagi pemohon peringkat ijazah pertama, mereka perlu memperoleh kepujian dalam Bahasa Malaysia bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan setaraf, sekurang-kurangnya Gred C dalam SPM, atau sekurang-kurangnya Gred B6 dalam Unified Examination Certificate (UEC).

 

Lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau kelayakan setaraf seperti Diploma, Matrikulasi atau Asasi perlu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.00 dan ke atas.

 

Pemohon pascasiswazah pula perlu mencatat pencapaian akademik cemerlang dengan CGPA 3.00 dan ke atas semasa pengajian ijazah pertama atau sarjana.

 

Semua pemohon juga perlu menunjukkan ciri kepimpinan yang kukuh dan aktif dalam kegiatan kokurikulum, menyertai serta memberi sumbangan signifikan kepada aktiviti kemasyarakatan, selain aktif dalam pembangunan bakat dengan pencapaian cemerlang dalam satu atau lebih bidang khususnya kepimpinan, kemahiran dan kreativiti.

 

Calon yang layak dan memenuhi syarat akan dipanggil menghadiri temu duga oleh panel khas yang akan membuat keputusan berdasarkan prestasi calon semasa temu duga, potensi, bakat kepimpinan, sumbangan kepada masyarakat serta kriteria lain yang difikirkan sesuai.

 

Yang Tidak Layak

Yayasan Sarawak menjelaskan, pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat STPM, Sijil, Pra-Diploma, Diploma, Matrikulasi atau Asasi tidak layak memohon.

 

Individu yang mengikuti kursus atau program pembelajaran jarak jauh atau separuh masa tetapi masih terikat dengan organisasi penaja, serta mereka yang sedang bekerja namun tidak mempunyai surat pelepasan atau kelulusan majikan, juga tidak layak memohon.

 

“Umur pemohon tidak melebihi 45 tahun bagi peringkat ijazah sarjana muda dan 50 tahun bagi peringkat Sarjana serta PhD,” tambah yayasan itu.

 

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di http://www.yayasansarawak.org.my sehingga jam 4 petang, 29 Mei 2026.

 

Untuk maklumat lanjut, hubungi Bahagian Biasiswa Yayasan Sarawak di talian 082-441686 atau faks 082-440023. - DagangNews.com