Permintaan rendah berisiko jejaskan sektor bahan pembinaan pada FY25, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan rendah berisiko jejaskan sektor bahan pembinaan pada FY25, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Julai — Sektor bahan pembinaan berisiko terjejas berikutan permintaan yang lemah pada FY25 terutama terhadap aluminium dan simen, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, sekiranya terjadi dalam masa terdekat, situasi berkenaan dikhuatiri mengganggu perkembangan aktiviti pembinaan khususnya melibatkan projek-projek kecil.

 

Selain itu tambahnya, peningkatan kos input dan kelembapan ekonomi global antara risiko kepada penurunan utama sektor tersebut yang terdedah luas dengan pelbagai faktor luaran sepanjang masa.

 

"Walaupun ketidaktentuan berterusan disebabkan oleh isu tarif Amerika Syarikat (AS), kami percaya harga bahan pembinaan masih lagi boleh dianggap stabil," kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Ia memberi contoh aluminium yang dijangka kekal menyokong sektor bahan pembinaan di tengah-tengah situasi bekalan global adalah ketat, meskipun diimbangi oleh faktor permintaan lebih sederhana.

 

Justeru, firma berkenaan mengekalkan andaian harga untuk bahan tersebut dari FY25 hingga FY27 sebanyak AS$2,500 (kira-kira RM10,570) setiap tan dalam dagangan di Pasaran Logam London.

 

Sementara itu, isu simen pula menurut RHB Research, dijangka memberi manfaat yang besar kepada syarikat-syarikat bahan berkenaan menerusi pelbagai projek daripada Transit Aliran Massa (MRT3).

 

"Minggu lalu, Kementerian Pengangkutan secara rasmi meluluskan skim jajaran baharu itu sepanjang 51.6 kiometer dengan pengambilan tanah dijangka siap menjelang akhir 2026," kata firma berkenaan.

 

Pemberian kontrak dan pembinaan MRT3 pula hanya dimulakan pada 2027 dengan Malayan Cement Berhad dan Press Metal Berhad menjadi pilihan utama firma berkenaan kerana jangkaan potensi luas.

 

RHB Research percaya, projek rel itu akan meningkatkan permintaan dalam jangka pertengahan, dan memandangkan bahagian pasaran dua syarikat terbabit yang besar sebanyak 60 hingga 70 peratus.

 

Berdasarkan perkembangan itu, firma berkenaan memberi penarafan 'overweight' ke atas sektor bahan pembinaan dengan saranan 'beli' terhadap saham kedua-dua syarikat tersebut. - DagangNews.com