KUALA LUMPUR 4 Julai — Pertumbuhan permintaan petroleum global yang perlahan, dibimbangi menjejaskan prospek kenaikan harga dalam sektor minyak dan gas (O&G), kata MIDF Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia berikutan pelbagai insiden semasa yang berlaku tanpa jangkaan di seluruh dunia terutamanya daripada konflik Israel dan Iran selama 12 hari pada Jun 2025.
Tambahnya, sektor berkenaan dilihat turut dipengaruhi oleh faktor sampingan seperti peralihan tenaga di China dan landskap ekonomi yang lebih mencabar dalam situasi perdagangan antarabangsa.
"Keadaan ketika ini diburukkan lagi dengan kemungkinan terjadi lebihan bekalan dalam inventori minyak, yang boleh mengehadkan kenaikan harganya," kata MIDF Research dalam nota kajiannya.
Bagaimanapun tambahnya, di satu pihak, sektor O&G mendapat manfaat daripada aktiviti huluan yang teguh seperti di Malaysia, disokong oleh pelaburan berterusan dan pelbagai projek pembangunan.
Segmen pertengahan pula kata firma itu, dipacu dengan kukuh terutamanya menerusi kontrak jangka panjang bagi aktiviti pemprosesan dan pengedaran gas yang kekal menawarkan kestabilan pendapatan.
Pasaran perkhidmatan kapal pemunggahan simpanan pengeluaran terapung (FSPO) global juga kata MIDF Research, dilihat berpotensi menyediakan aliran pendapatan yang stabil untuk para pemain utama.
"Sektor hiliran namun menghadapi tekanan keuntungan secara berterusan daripada harga minyak mentah yang masih tidak menentu manakala industri petrokimia bergelut dengan pelbagai masalah," katanya,
Ini termasuk lebihan bekalan sejagat dan harga polimer yang lemah selain ketegangan geopolitik memberi risiko tetapi turut menyumbang kepada turun naik harga, tanpa jaminan lonjakan harga.
MIDF Research berkata, kemajuan peralihan tenaga yang semakin pantas juga memberi cabaran struktur jangka panjang, walaupun ada kepelbagaian industri kepada rumusan karbon rendah seperti hidrogen.
Berdasarkan keadaan semasa itu, firma berkenaan mengulangi pandangan 'neutral' mengenai sektor O&G dengan melihat peningkatan secara beransur-ansur untuk permintaan masa terdekat di kesemua segmen.
"Kami juga menggemari MISC Berhad disebabkan model perniagaan pelbagai dan berdaya tahan, serta menawarkan profil ganjaran risiko menarik di tengah-tengah pasaran tenaga tidak stabil," katanya.
Ia mengulangi saranan 'beli' dan harga sasaran RM8.13 sesaham setelah menilai pasaran perkapalan masih berisiko di Timur Tengah, namun diimbangi permintaan kukuh jarak jauh. - DagangNews.com








