KUALA LUMPUR 31 Jan - Permintaan penumpang udara global mencapai rekod tertinggi pada 2024, dengan jumlah trafik meningkat 10.4% berbanding tahun sebelumnya, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
IATA berkata, jumlah trafik udara itu diukur dalam kilometer penumpang sudah melebihi paras pra-pandemik (2019) sebanyak 3.8%.
"Jumlah kapasiti, diukur dalam kilometer tempat duduk tersedia (ASK), meningkat sebanyak 8.7%, manakala faktor muatan keseluruhan menunjukkan penerbangan penuh mencecah rekod 83.5%, menandakan rekod trafik tertinggi," kata IATA dalam satu kenyataan.
Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata, 2024 membuktikan orang ramai mempunyai keinginan yang kuat untuk mengembara.
“Dengan pertumbuhan permintaan sebanyak 10.4%, perjalanan udara mencapai paras rekod dalam dan luar negara.
"Secara purata, 83.5% daripada semua kerusi telah diisi, satu rekod tinggi baharu, sebahagiannya dibantu oleh kekangan rantaian bekalan yang menghadkan pertumbuhan kapasiti," katanya.
IATA mewakili kira-kira 320 syarikat penerbangan, menyumbang 83% daripada trafik udara global.
Memandang ke hadapan, IATA menjangkakan permintaan perjalanan udara akan terus berkembang pada 2025, walaupun pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 8%.
"Walaupun prestasi ini menunjukkan keinginan orang ramai untuk mengembara, kemalangan di Washington baru-baru menjadi peringatan bahawa kita mesti sentiasa mengutamakan keselamatan," katanya.
Walsh turut menekankan komitmen industri untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, menekankan keperluan untuk ketersediaan dan kemampuan bahan api penerbangan mampan (SAF) yang lebih tinggi.
"Walaupun syarikat penerbangan melabur dalam pembelian SAF pada 2024, kurang daripada 5% keperluan bahan api dipenuhi dengan SAF.
"Kerajaan boleh mengukuhkan keselamatan tenaga negara mereka dan menyelesaikan masalah ini dengan mengutamakan pengeluaran bahan api boleh diperbaharui," katanya. - DagangNews.com








