Permintaan komponen frekuensi radio Inari diyakini kekal stabil pada 2H25, kata Apex Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan komponen frekuensi radio Inari diyakini kekal stabil pada 2H25, kata Apex Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Permintaan komponen frekuensi radio (RF) Inari Amertron Berhad diyakini kekal stabil pada separuh kedua tahun 2025 (2H25), menurut Apex Securities.

 

Katanya, lonjakan besar terhadap komponen RF berkaitan dengan penggunaan teknologi 5G telah memuncak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menjadikan prospek pertumbuhannya kekal stabil untuk jangka sederhana.

 

“Kami menjangkakan pertumbuhan komponen RF dalam kitaran produk baharu pada 2H25 kekal stabil, memandangkan kitaran menaik yang didorong oleh teknologi 5G,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Inari diramal berdepan suku kewangan yang lebih lemah pada 4QFY25, terkesan oleh faktor bermusim menjelang pelancaran produk pada September, cabaran kadar tukaran asing, dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

Katanya, keuntungan teras bagi suku ini dijangka berada antara RM50 juta hingga RM60 juta, turun sehingga 16.4% suku tahun ke suku tahun, sekali gus membawa unjuran keuntungan setahun penuh FY25 kepada antara RM243 juta hingga RM253 juta, merosot 16% hingga 20% dari tahun ke tahun.

 

Bagaimanapun, Apex Securities masih mengekalkan pandangan positif untuk separuh pertama 2026 (1H26), dengan potensi lonjakan semula permintaan RF yang didorong oleh pelancaran telefon pintar utama yang dilengkapi dengan teknologi diadayan kecerdasan buatan AI. 

 

Katanya, peranti itu dijangka memerlukan komponen RF tambahan untuk menyokong lebih banyak jalur frekuensi dan penapisan yang lebih ketat, seterusnya menyokong peningkatan penggunaan RF.

 

"Permintaan dalam segmen telefon pintar mungkin terjejas akibat kekurangan inovasi dalam kalangan pengguna, serta perubahan reka bentuk yang minimum dalam peranti baharu," katanya.

 

Dalam perkembangan lain, Apex Securities turut menyentuh mengenai pelaburan strategik Inari dalam pengambilalihan bersama syarikat Lumileds (Belanda) dan Sanan Optoelectronics (China), yang berpotensi memberikan kelebihan jangka panjang walaupun terdapat kebimbangan pelabur terhadap prestasi kewangan Lumileds dan persaingan ketat dalam pasaran LED.

 

Apex Securities menurunkan harga sasaran saham Inari kepada RM2.23, daripada RM2.94 sebelum ini. Saham Inari kini menerima lapan saranan "beli", 10 "pegang", dan tiga "jual", menurut data Bloomberg. - DagangNews.com