KUALA LUMPUR 31 Julai — Ekonomi biru akan terus diperkukuh dengan industri perkhidmatan bekalan bahan api marin mencecah RM19.4 bilion menjelang 2030, meningkat daripada RM14.5 bilion pada 2024.
Menurut dokumen utama Kementerian Ekonomi, akaun satelit ekonomi biru khusus dijangka dibangunkan sepenuhnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang berlangsung dari 2026 hingga 2030.
Jumlah kapal nelayan moden katanya, diunjurkan meningkat kepada 45 berbanding hanya lapan pada 2024 dengan pelan termasuk menaik taraf atau membina limbungan kapal nelayan di 10 lokasi disarankan.
Premis itu tambahnya, dilengkapi kemudahan pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan, manakala pembangunan ekonomi biru akan diurus secara mampan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
"Kementerian Ekonomi berhasrat meningkatkan kesejahteraan masyarakat, serta melindungi ekosistem marin, pantai dan air tawar untuk generasi semasa selain yang akan datang," kata dokumen berkenaan.
Tumpuan tambahnya, akan diberi kepada industri utama yang berkembang dan pemeliharaan biodiversiti dengan infrastruktur pelabuhan turut akan dipertingkatkan lagi untuk menyokong pertumbuhan.
Situasi itu katanya, meliputi industri strategik yang akan termasuk pembinaan dan pembaikan kapal, logistik, perikanan dan akuakultur, pelancongan pantai/maritim, serta tenaga boleh diperbaharui.
Dokumen Kementerian Ekonomi itu berkata, kapasiti Pelabuhan Klang akan diperluas dengan terminal ketiga di Pulau Carey dan terminal kontena Westports 2 untuk menerima pakai amalan rendah karbon.
Kapasiti pelabuhan di Sabah dan Sarawak juga dinaik taraf manakala insentif kewangan sedia ada dipertingkatkan, dengan mekanisme pembiayaan mampan, termasuk pembiayaan bersama, akan diterokai.
"Penggunaan teknologi dan inovasi juga akan memberi tumpuan kepada aspek pengurusan sisa lautan, pemuliharaan alam sekitar dan inisiatif karbon biru selaras matlamat RMK13 sendiri," katanya.
Selain itu tambah Kementerian Ekonomi, kerjasama serantau akan dipergiat dalam penyelidikan dan pembangunan, pengkomersilan dan inovasi, pemindahan teknologi, pembangunan bakat, dan kepakaran.
Hab ekonomi biru akan dibangunkan di negeri berpotensi tinggi seperti Kelantan, Perak, Sabah dan Terengganu untuk menarik pelaburan, manakala kepakaran tempatan dimanfaatkan untuk menarik belia.
Golongan tersebut disasar menceburi kerjaya ekonomi biru yang berpendapatan tinggi dan untuk memelihara biodiversiti, penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 (Akta 317) akan diperkukuh kerajaan.
Ini terutama di Laut China Selatan untuk memerangi penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selain akta itu dipinda bagi menangani sumber perikanan yang semakin berkurangan.
Dokumen kementerian itu juga berkata, kaedah tradisional perikanan berasaskan komuniti diamalkan di Sabah dan Sarawak akan diperluaskan ke Semenanjung Malaysia untuk melindungi perikanan darat.
"Perkongsian strategik dengan sektor swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat tempatan akan dipertingkatkan dalam pengurusan sisa dan program pembersihan di pulau-pulau," katanya. - DagangNews.com








