Perkembangan Zon Kewangan Khas Forest City bakal pacu pertumbuhan sektor perbankan - TA Securities  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perkembangan Zon Kewangan Khas Forest City bakal pacu pertumbuhan sektor perbankan - TA Securities 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - Prospek sektor perbankan dijangka bertambah lebih baik dibantu oleh pinjaman kewangan tinggi, didorong oleh perkembangan Zon Kewangan Khas Forest City (FC-SFZ), kata TA Securities. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, bank yang mempunyai pengaruh tinggi di Johor dijangka meraih manfaat daripada permintaan rumusan kewangan seperti pembiayaan perdagangan, pembiayaan korporat dan khidmat nasihat yang semakin meningkat.

 

Katanya, dengan rancangan   Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) untuk menarik 50 projek dalam tempoh lima tahun, bank boleh memanfaatkan industri bernilai tinggi. 

 

Projek seperti pusat data, syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE), semikonduktor dan pembuatan termaju, serta sektor keutamaan baharu seperti aeroangkasa, elektrik dan elektronik, kimia, peranti perubatan dan penyediaan operasi farmaseutikal di Johor bakal memberi manfaat kepada sektor bank.

 

TA Securities berkata, pertumbuhan pinjaman di Johor dijangka terus melepasi purata nasional, dengan unjuran peningkatan 9.7% YoY pada 2024, yang menandakan permintaan kukuh untuk perkhidmatan kewangan di rantau itu.

 

"Kami menjangkakan FC-SFZ memberi peluang pertumbuhan menarik bagi sektor kewangan kerana bank mereka memainkan peranan penting dalam memacu integrasi kewangan rentas sempadan dan pengembangan ekonomi.

 

"Kami percaya bank yang mempunyai kehadiran yang mantap di Singapura dan Johor, seperti Maybank, CIMB, Hong Leong dan RHB Bank berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan di negeri ini," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Kami percaya keupayaan mereka untuk memudahkan perkhidmatan kewangan merentas sempadan yang lebih lancar, menjadikannya penyelesaian sehenti untuk pelabur dan perniagaan di Johor dan Singapura seta meningkatkan kemudahan kredit dan menawarkan rumusan kewangan yang lebih komprehensif.

 

Maybank juga berkata mereka sedang membina sistem pembayaran yang inovatif seperti pembayaran QR dan P2P rentas sempadan.

 

"Kami mengekalkan saranan "overweight" ke atas sektor ini dengan tiga bank teratas yang kami jangka mendapat manfaat daripada peluang ini termasuk Public Bank, CIMB dan Maybank. 

 

"Bagaimanapun, kami juga menetapkan saranan "beli" untuk AmBank, Hong Leong Bank, RHB Bank, Affin Bank dan Alliance Bank," katanya. - DagangNews.com