KUALA LUMPUR 17 Nov – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan bahawa kedaulatan Malaysia, autonomi dasar dan kepentingan negara tetap terpelihara di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-Amerika Syarikat (ART).
Kementerian itu berkata, ART bukan perjanjian perdagangan bebas konvensional, sebaliknya merupakan tindak balas bersasar untuk melindungi kepentingan nasional, mengekalkan pekerjaan, dan menstabilkan pasaran eksport Malaysia daripada tarif unilateral Amerika Syarikat (AS).
“Tiada pindaan kepada undang-undang Malaysia diperlukan sebelum menandatangani perjanjian itu.
“Sebelum menandatangani ART, kerajaan telah menjalankan proses sewajarnya dengan melibatkan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi menilai implikasi undang-undang, ekonomi, keselamatan dan sektor tertentu,” kata Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
MITI juga menjalankan analisis senario yang menunjukkan bahawa sekiranya Malaysia tidak berunding, tarif lebih tinggi dan ketidakpastian bagi pengeksport, pelabur, dan pekerja adalah tidak dapat dielakkan.
“10 sesi perbincangan dengan penggubal dasar telah diadakan sejak Mei 2025, termasuk taklimat kepada Backbenchers Club, sesi khas Parlimen, sesi soal jawab menteri dan mesyuarat dengan jawatankuasa khas Parlimen.
“ART dan implikasinya telah dibentangkan dan diluluskan oleh Kabinet.
“Selain itu, kementerian dan agensi lain seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertanian & Sekuriti Makanan, Kementerian Perusahaan Perladangan & Komoditi, Kementerian Kesihatan, Pejabat Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, JAKIM, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Badan Kawal Selia Farmaseutikal Negara, Agensi Peranti Perubatan, dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia turut dirujuk bagi memastikan kepatuhan undang-undang, keselamatan makanan, piawaian halal, serta kesan fiskal dan ekonomi,” kata MITI.
Perdagangan Malaysia-AS pada 2024 mencapai RM325 bilion, dengan eksport sebanyak RM198.65 bilion.
Dari Januari hingga September 2025, eksport Malaysia ke AS berjumlah RM166.38 bilion, menjadikan AS pasaran eksport terbesar Malaysia.
MITI berkata, tanpa ART, eksport Malaysia berisiko dikenakan tarif sehingga 24%-25% atau lebih tinggi, termasuk ke atas sektor sensitif seperti semikonduktor dan farmaseutikal, yang berpotensi menjejaskan RM56.2 bilion eksport semikonduktor sahaja.

“Melalui ART, Malaysia memperoleh kadar tarif timbal balas lebih rendah, daripada 25% kepada 19% dan pengecualian untuk 1,711 barisan tarif, melindungi kira-kira RM22 bilion eksport termasuk minyak sawit, getah, koko, alat aeroangkasa dan farmaseutikal.
“Malaysia juga mengekalkan purata 7% duti import terhadap barangan AS dan mengekalkan duti import bagi sektor sensitif,” katanya.
Kerajaan menegaskan kedaulatan negara tetap dipelihara, termasuk dasar Bumiputera, perolehan kerajaan dan pemilikan dalam sektor strategik seperti tenaga dan telekomunikasi.
“ART tidak menjejaskan garis merah ini dan memberi Malaysia autonomi penuh untuk membuat keputusan, selaras dengan dasar luar negara yang berkecuali.
“Sektor pembuatan dan eksport Malaysia yang menyokong rantaian bekalan AS menyediakan 1.1 juta pekerjaan untuk rakyat Malaysia dan peluang kepada sekurang-kurangnya 7,000 PKS.
“ART turut memberi kepastian kepada pelabur dan sektor eksport, menyumbang kepada pertumbuhan KDNK 5.2% bagi suku ketiga 2025,” kata Kementerian tersebut.
MITI menegaskan ART berfungsi sebagai alat defensif dan penstabil, mengurangkan risiko kejutan tarif mendadak, dan menegaskan komitmen Malaysia melindungi pasaran eksport kritikal sambil mengekalkan kedaulatan negara.
Pelaksanaan ART akan tetap berpandukan undang-undang Malaysia, kepentingan negara, dan dasar luar negara bebas.
MITI akan terus memberi taklimat kepada Parlimen, melibatkan pihak berkepentingan, dan menyediakan penjelasan jelas supaya rakyat dapat menilai ART berdasarkan maklumat tepat dan lengkap. - DagangNews.com








