KUALA LUMPUR 24 Mac – Krisis di Cahya Mata Sarawak Berhad kian memburuk dengan dua adik-beradik peneraju syarikat itu saling saman-menyaman, selain timbul dakwaan cubaan rampasan kuasa lembaga pengarah.
Perhatian umum mula beralih awal bulan ini kepada Cahya Mata Sarawak apabila Timbalan Pengerusi syarikat, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib melancarkan tindakan undang-undang ke atas pengurusan kanan syarikat.
Pengurusan kanan syarikat yang dimaksudkan ialah adiknya, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib selaku Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata sendiri.
Kedua-dua mereka adalah anak kepada Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Gabenor dan Ketua Menteri Sarawak yang paling lama berkhidmat.

Pada 5 Mac, Mahmud, timbalan pengerusi kumpulan itu dan pengarah Cahya Mata selama 30 tahun, memfailkan saman pemula (OS) di Mahkamah Tinggi Kuching bagi mendapatkan hak untuk memeriksa buku dan rekod Cahya Mata dan lima anak syarikat.
Anak syarikat terbabit ialah Cahya Mata Phosphates Industries Sdn Bhd, Cahya Mata Cement Sdn Bhd, Oiltools International Sdn Bhd, Cahya Mata Oiltools Sdn Bhd dan Cahya Mata Professionals Sdn Bhd.
Pada minggu lalu, Sulaiman dan Cahya Mata memfailkan afidavit menentang prosiding awal Mahmud, dengan alasan tindakan Mahmud boleh memberi kesan kepada dirinya secara peribadi.
"Ia tidak tersasar jauh untuk mendakwa bahawa plaintif (Mahmud) cuba melancarkan rampasan kuasa untuk memecat saya sebagai pengarah Cahya Mata," katanya dalam afidavit yang disahkan pada 13 Mac 2025, menurut laporan FMT.

Bagaimanapun, dalam afidavit jawapannya, Sulaiman menuduh Mahmud mempunyai "tujuan tersembunyi" dalam membawa permohonan itu.
Beliau mendakwa Mahmud mahu membenarkan peguamnya mengakses dokumen yang akan membantu anak guam firma guaman itu dalam pelbagai kes lain yang melibatkan Cahya Mata atau anak syarikatnya.
"Saya dinasihatkan oleh peguam bela Cahya Mata dan benar-benar percaya bahawa sejak plaintif memulakan saman pemula ini terhadap Cahya Mata, dia telah bertindak mala fide (dengan niat jahat)," kata Sulaiman dalam afidavitnya.
"Rekod perakaunan dan rekod lain Cahya Mata akan menyebabkan kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki jika ia jatuh ke tangan yang salah," tambahnya.
Sulaiman juga mendakwa hak Mahmud untuk memeriksa dokumen itu tidak mutlak, dan Mahmud tidak boleh berbuat demikian sekarang memandangkan beliau bukan lagi pengarah syarikat. - DagangNews.com








