Perdana Petroleum terima dua kontrak AHTS daripada PETRONAS Carigali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perdana Petroleum terima dua kontrak AHTS daripada PETRONAS Carigali

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Dis – Perdana Petroleum Bhd (PPB), melalui anak syarikat milik penuhnya, Perdana Nautika Sdn Bhd (PNSB), menerima dua anugerah pesanan kerja daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd bagi penyediaan dua unit kapal Anchor Handling Tug Supply (AHTS).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PPB berkata kontrak berkenaan diterima pada 14 November 2025 dan melibatkan penyewaan dua kapal AHTS bagi menyokong operasi luar pesisir PETRONAS Carigali.

 

Bagi kapal AHTS pertama, tempoh sewaan dicadangkan selama 130 hari dengan pilihan lanjutan selama 60 hari, manakala kapal AHTS kedua melibatkan tempoh sewaan selama 62 hari dengan pilihan lanjutan selama 30 hari.

 

Tarikh permulaan kontrak adalah berdasarkan tarikh sijil on-hire kapal masing-masing.

 

Di bawah kontrak tersebut, PNSB akan menyediakan kapal bersama kru dan peralatan bagi melaksanakan perkhidmatan berterusan 24 jam sehari, termasuk membantu dan menyokong pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir, tongkang derrick, kerja penundaan serta pengendalian sauh.

 

Bagaimanapun, nilai anggaran kontrak tidak dapat ditentukan buat masa ini kerana ia bergantung kepada pesanan kerja yang dikeluarkan oleh PETRONAS Carigali sepanjang tempoh kontrak.

 

Dari segi kewangan, PPB menjangkakan kontrak ini akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, tidak termasuk tempoh lanjutan.

 

Kontrak tersebut juga tidak memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.

 

PPB turut memaklumkan bahawa risiko berkaitan kontrak ini merupakan risiko operasi biasa dan boleh dikurangkan melalui sistem pengurusan projek serta kawalan dalaman perniagaan kumpulan.

 

Kontrak tersebut tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia. Bagaimanapun, kelulusan PETRONAS Carigali untuk mengeluarkan pengumuman ini telah diperoleh pada 29 Disember 2025. - DagangNews.com