KUALA LUMPUR 22 Mei — Syarikat perkhidmatan kapal luar pesisir, Perdana Petroleum Berhad menyasarkan dapat bangkit semula pada separuh kedua 2025 apabila penggunaan armada bertambah baik selepas melalui permulaan perlahan secara bermusim.
Pengarah Urusannya, Jamalludin Obeng berkata, tahun ini mereka bermula dengan tenang setelah kumpulan itu beralih daripada pelan piagam bersifat jangka pendek kepada pengaturan kontrak jangka panjang menerusi perancangan operasi lebih rapi.
Katanya, pada tahun ini, mereka bermula dengan perlahan berikutan penetapan semula kontrak jangka panjang dan syarikat itu sudah mempunyai lima tender berkenaan yang akan masuk untuk tiga campur tiga serta tiga tambah satu bagi tahun berikutnya.
"Disebabkan sifat pengaturan jangka panjang, terdapat penekanan penyediaan awal secara lebih besar untuk memastikan setiap kapal harus mematuhi sepenuhnya keperluan khusus kontrak yang ditetapkan oleh penyewa masing-masing," kata beliau lagi.
Langkah berkenaan tambah Jamalluddin, termasuk usaha mobilisasi secara lebih luas, kesediaan teknikal dan kerja pematuhan, yang sememangnya memerlukan banyak masa serta menanggung kos permulaan cukup tinggi berbanding piagam jangka pendek.
Bagaimanapun beliau optimis mengenai tahap aktiviti Perdana Petroleum akan kembali pulih dalam beberapa bulan akan datang berdasarkan kepada rekod cemerlang bagi penggunaan armadanya adalah purata kira-kira 70 peratus sepanjang 2024.
"Kumpulan ini memiliki permulaan yang lewat, tetapi kami percaya syarikat boleh mengimbangi penggunaan lebih tinggi pada tempoh suku kedua dan suku ketiga, serta berharap akan dapat mengakhiri 2025 dengan kukuh jika cuaca baik," katanya.
Jamalluddin menambah, kapal yang beroperasi di Asia kebiasaannya paling sibuk pada suku kedua dan ketiga tahun ini manakala suku pertama dan terakhir dipengaruhi keadaan monsun dengan risiko angin kencang, laut bergelora serta hujan lebat.
Perdana Petroleum kini mempunyai sebanyak RM800 juta dalam tempahan kontrak, dan masih lagi terus membida peluang pekerjaan baharu yang bernilai kira-kira RM1.3 bilion.
Selain itu tambah beliau, aktiviti luar pesisir serantau adalah kekal teguh, dengan disokong oleh bekalan ketat kapal di seluruh Asia Tenggara, Asia Barat dan India.
“Di Malaysia sahaja, terdapat kira-kira 300 platform luar pesisir yang memerlukan servis, penyelenggaraan dan sokongan operasi. Industri kapal sokongan luar pesisir kini stabil teguh, dan kami menjangka trend ini akan mampan," katanya.
Sementara itu, Jamalluddin berkata, Perdana Petroleum turut sedang memantau rapi isu pertikaian yang membabitkan antara syarikat petroleum nasional, Petronas dan Petros milik kerajaan Sarawak.
Dayang Enterprise Holdings Berhad yang berpangkalan di Sarawak ialah pemegang saham terbesar Perdana Petroleum dengan 63.42 peratus kepentingan, dan ia boleh menjadi kelebihan mereka. - DagangNews.com








