KUALA LUMPUR 24 Julai — IHH Healthcare Berhad perlu bersedia dengan risiko perbezaan budaya korporat ketara menerusi kerjasama antara anak-anak syarikatnya di India, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, gaya pengurusan Fortis Healthcare Limited dan Gleneagles Healthcare India (GHI) merupakan cabaran paling besar kumpulan berkenaan di negara Asia Selatan itu.
Tambahnya, kedua-dua subsidiari IHH Healthcare itu juga tertakluk kepada isu kawal selia dan undang-undang yang berbeza daripada Malaysia berdasarkan latar belakang serta rekod pengalaman.
"Kami menjangka ini boleh menjadi antara kelemahan utama yang wajar ditangani di bawah kolaborasi strategik melalui perjanjian dimeterai dua anak syarikat itu," kata MBSB Research dalam notanya.
Fortis merupakan salah satu syarikat penjagaan kesihatan terbesar di India yang memiliki 27 hospital di sejumlah 10 bandar raya dengan lebih 4,500 katil dan seramai 23,000 petugas profesional.
Menerusi perjanjian perkhidmatan penyelenggaraan dan operasi secara perkongsian menang-menang itu, Fortis menguruskan lima daripada enam hospital di bawah rangkaian GHI di empat bandar raya.
Mengulas lanjut, MBSB Research berpendapat, kerjasama itu membolehkan rundingan harga lebih baik untuk bekalan perubatan, farmaseutikal dan peralatan selain mampu meningkatkan kawalan kualiti.
"Ia akhirnya membawa kepada kecekapan, mengurangkan ralat dan menambah baik pengalaman pesakit serta memudahkan kedua-dua rangkaian memanfaatkan kepakaran khas masing-masing," kata firma itu.
Bagaimanapun, ia memberi amaran mengenai isu kehilangan autonomi dirasakan GHI selepas ini dan insentif yang tidak cukup meskipun positif dalam pengekalan kehadiran IHH Healthcare di India.
MBSB Research namun percaya kumpulan itu mempunyai kapasiti dan keupayaan mengurangkan cabaran melalui pelan penyepaduan dan autonomi terpelihara dalam pengurusan kewangan dua pihak tersebut.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan penjagaan kesihatan tersebut dengan harga sasaran tidak berubah RM8.18 sesaham. - DagangNews.com








