Perbelanjaan modal pelaksanaan 5G kedua U Mobile diunjur cecah RM3 bilion - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perbelanjaan modal pelaksanaan 5G kedua U Mobile diunjur cecah RM3 bilion - CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Julai —  Perbelanjaan modal U Mobile Sdn Bhd diunjurkan meningkat dengan potensi yang boleh mencecah RM3 bilion, antara tahun kewangan 2025 sehingga 2027, kata CIMB Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, lonjakan berkenaan berikutan pelaksanaan rangkaian 5G kedua Malaysia, setelah syarikat itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM722 juta bagi tahun kewangan 2024.


Keadaan itu jauh berbeza daripada keuntungan bersih RM102 juta telah direkodkan pada tahun kewangan 2023, dengan kerugian ini disebabkan oleh caj susut nilai yang dipercepatkan sebanyak RM489 juta.


"Ini belum termasuk kerugian mata wang asing serta kos faedah daripada pendahuluan pemegang saham (SHA) dan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS)," kata CIMB Securities dalam nota kajian.


Sekiranya faktor itu diambil kira, firma berkenaan menganggarkan kerugian bersih teras U Mobile berjumlah RM19 juta berbanding keuntungan bersih teras dicatatkan pada FY23 sebanyak RM295 juta.


Tambahnya lagi, syarikat telekomunikasi tersebut mencatatkan peningkatan 3.4 peratus dalam hasil perkhidmatan bagi tahun kewangan 2024, yang mengatasi prestasi Maxis Berhad dan CelcomDigi Berhad.


Berdasarkan perkembangan itu kata CIMB Securities, bahagian pasaran hasil perkhidmatan mudah alih (RMS) U Mobile telah meningkat sebanyak 0.4 mata peratusan pada asas tahunan kepada 15.7 peratus.


"Tidak termasuk SHA dan RCPS, hutang bersih syarikat itu, meliputi pajakan kewangan dan pembiayaan vendor, adalah turun tiga peratus kepada RM2.70 bilion pada akhir tahun kewangan 2024," katanya.


Secara umum tambah firma itu, perbelanjaan modal U Mobile pada FY24 adalah kekal rendah untuk tahun ketiga berturut-turut, dengan berjumlah RM189 juta, atau 5.1 peratus daripada keseluruhan hasilnya.


Situasi positif berkenaan kata CIMB Securities, mencerminkan pelaburan 4G yang disasarkan syarikat dan pergantungan berterusan kepada rangkaian 5G Digital Nasional Berhad untuk mengendalikan trafik.


Bagaimanapun katanya, ujian rangkaian Opensignal terkini menunjukkan bahawa skor U Mobile untuk kelajuan muat turun secara keseluruhan serta pengalaman video dan permainan telah bertambah baik


"Walaupun lebih stabil, U Mobile hanya menduduki masing-masing tempat ketiga atau keempat untuk kategori-kategori itu dalam kalangan syarikat telekomunikasi," tambah firma berkenaan. - DagangNews.com