Perang harga EV mungkin berlaku jika dasar cukai diubah - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perang harga EV mungkin berlaku jika dasar cukai diubah - penganalisis

KUALA LUMPUR 10 Jun - Pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia mungkin berdepan perang harga besar-besaran sekiranya kerajaan mengubah dasar cukai sedia ada, kata penganalisis BIMB Securities, Sabariah Akhair.

 

Menurutnya, jika kerajaan memansuhkan dasar harga lantai RM100,000 bagi EV import dan melanjutkan pengecualian cukai untuk kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) selepas 2025, harga EV dari China dijangka jatuh mendadak sehingga serendah RM18,000.

 

"Ini boleh menyebabkan lambakan EV murah dari China seperti BYD Seagull dan Wuling Mini EV. 

 

 

 

 

 

 

"Pengeluar tempatan yang tiada kilang pemasangan sendiri mungkin sukar bersaing dan menangguhkan pelaburan," katanya seperti laporan The Star.

 

Buat masa ini, EV yang dipasang secara tempatan (CKD) menikmati pengecualian cukai sehingga akhir 2027, termasuk cukai import, eksais dan jualan. 

 

EV CBU juga dikecualikan cukai, tetapi hanya sehingga 31 Disember 2025. 

 

Selepas tarikh itu, ia akan dikenakan cukai penuh.

 

Sebagai perlindungan kepada pemain tempatan, kerajaan turut menetapkan harga minimum RM100,000 untuk EV import sehingga hujung 2025.

 

Sabariah berkata, sekiranya kerajaan membenarkan pengecualian cukai EV CBU tamat seperti dijadualkan, tetapi menarik semula dasar harga lantai RM100,000, pasaran EV akan berkembang secara lebih tersusun dan mampan.

 

"Harga EV import akan kembali ke paras asal secara beransur-ansur, mengelakkan perang harga dan menyokong usaha jangka panjang untuk pengeluaran tempatan," jelasnya.

 

Beliau menjangkakan kadar pemilikan EV akan meningkat secara stabil kepada 3.5% hingga 4% daripada jumlah keseluruhan jualan kenderaan (TIV) pada 2025. 

 

Namun, kejayaan itu bergantung kepada dasar kerajaan yang jelas, infrastruktur pengecasan yang baik dan kemudahan pembiayaan.

 

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), EV menyumbang 2.9% daripada TIV bagi suku pertama 2025, meningkat daripada 1.8% pada 2024.

 

Sabariah menjelaskan, syarikat seperti Bermaz Auto Bhd dan Sime Darby Bhd bersedia menghadapi persaingan, kerana telah mula memperluas portfolio EV masing-masing.

 

Pengeluar tempatan seperti Proton dan Perodua juga dijangka mampu mempertahankan kedudukan dalam pasaran.

 

Proton telah melancarkan model e.MAS 7 yang kini menjadi EV paling banyak ditempah pada awal 2025. 

 

Usaha sama dengan Geely dan pembangunan Lembah Teknologi Automotif Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim juga dijangka memperkukuh ekosistem EV tempatan.

 

Perodua pula dijangka memperkenalkan EV pertamanya di bawah harga RM100,000 menjelang akhir 2025, yang dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat dan mungkin menggunakan model sewa bateri untuk menjimatkan kos pengguna.

 

Pemerhati industri berkata, jika pengecualian cukai untuk EV import ditamatkan, pengeluar EV China perlu memulakan projek CKD di Malaysia. 

 

Namun, jumlah pengeluaran yang terhad mungkin menjadi halangan.

 

"Jika Perodua berjaya menghasilkan EV di bawah RM100,000 dan Proton mengikut langkah yang sama melalui kerjasama dengan Geely, mereka lebih bersedia bersaing dengan pengeluar China yang tiada operasi CKD," tambah Sabariah.

 

Walaupun EV dijangka berkembang, beliau menjangkakan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) masih kekal relevan, sementara EV dengan jarak tambahan (REV) mungkin lebih sesuai dalam jangka masa terdekat. - DagangNews.com