Perak Transit meterai kerjasama 30 tahun dengan Majlis Daerah Tanjung Malim urus terminal bas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perak Transit meterai kerjasama 30 tahun dengan Majlis Daerah Tanjung Malim urus terminal bas

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Dis – Perak Transit Berhad (Ptrans) memperkukuh kedudukannya sebagai pengendali terminal pengangkutan awam bersepadu apabila menerima persetujuan prinsip daripada Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) untuk mengurus Terminal Bas Tanjung Malim selama 30 tahun.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ptrans memberitahu persetujuan itu dimaklumkan melalui surat MDTM bertarikh 28 November 2025 susulan kelulusan Mesyuarat Penuh Majlis pada 18 November 2025.

 

"Kerjasama jangka panjang ini sejajar dengan strategi kumpulan untuk memperluaskan model perniagaan asset-light melalui pengurusan terminal pihak ketiga, sekali gus meningkatkan aliran pendapatan berulang berasaskan sewaan dan perkhidmatan terminal," kata syarikat itu dalam pemakluman berkenaan.

 

Pengarah Eksekutif Ptrans, Datuk Cheong Peak Sooi, berkata Terminal Bas Tanjung Malim merupakan bangunan dua tingkat dengan keluasan tanah kira-kira 1.20 ekar, keluasan binaan kasar 18,522 kaki persegi, dan 8,279 kaki persegi ruang boleh sewa melibatkan kedai serta kios.

 

“Perjanjian muktamad berhubung kerjasama ini sedang dimuktamadkan dan akan ditandatangani dalam masa terdekat.
Kami berterima kasih kepada MDTM dan Kerajaan Negeri Perak atas peluang yang diberikan,” katanya.

 

Beliau menambah pengalaman Ptrans dalam mengurus terminal seperti Terminal Meru Raya dan Kampar Putra Sentral akan menjadi nilai tambah bagi memastikan operasi Terminal Bas Tanjung Malim berjalan lancar serta memberi manfaat kepada penduduk setempat.

 

Katanya, kerjasama itu mengukuhkan lagi perancangan Ptrans untuk menjadi peneraju dalam pengurusan terminal pengangkutan awam bersepadu di Malaysia, selain meningkatkan peluang syarikat memperoleh kontrak baru daripada pihak berkuasa tempatan di negeri-negeri lain. - DagangNews.com