KUALA LUMPUR 10 Julai — MISC Berhad menjangkakan tekanan perdagangan hanya memberi kesan minimum ke atas operasinya kerana dilindungi kontrak penyewaan jangka panjang, kata RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, sebahagian besar daripada penghantaran gas asli dan armada petroleumnya sendiri dijamin kukuh menerusi pelbagai perjanjian penyewaan untuk tempoh yang lama.
Tambahnya, pendedahan kumpulan itu kepada kapal buatan China yang beroperasi di Teluk Amerika Syarikat (AS) juga adalah terhad, dan ia ada keupayaan menempatkan semula armadanya jika perlu.
"Dalam pengurusan risiko geopolitik, MISC mengubah arah melalui Tanjung Harapan dibantu pemantauan secara masa nyata dan penyelarasan rapat dengan pihak berkuasa," kata RHB Research dalam notanya.
Katanya, meskipun perniagaan kumpulan itu sekitar sektor minyak dan gas (O&G) tradisional, ia menonjolkan usaha peralihan tenaga, agar segmen maritim terus bergerak ke hadapan lebih baik.
Langkah ini kata firma tersebut, selari arahan pengawalseliaan dan tekanan yang semakin meningkat untuk penyahkarbonan dengan MISC telah menubuhkan pasukan petugas khusus bagi menyelia usaha itu.
RHB Research menambah, kumpulan perkapalan berkenaan juga sedang giat mengukuhkan daya tahannya dan mengekalkan aliran tunai jangka panjang yang stabil merentas segmen perniagaan utamanya.
Untuk bahagian perkapalan gas asli cecair (LNG), syarikat tersebut berusaha menaik taraf armadanya dengan sejumlah 19 kapal pengangkut LNG model baharu yang dijangka siap dihantar menjelang 2027.
Bagi segmen petroleum, MISC memodenkan armada kapal tangki dwibahan api, setelah meraih penyewaan tiga kapal Aframax yang dihantar antara 2027 dan 2028, bersama-sama dua Aframax dwibahan api LNG.
"Dalam segmen luar pesisir, ia bersedia membida projek baharu bagi memanfaatkan kapal penyimpanan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) semasa, berikutan kejayaan penggunaan Mero 3," katanya.
Selain itu, RHB Research turut menyatakan MISC sedang meneroka rumusan suntikan karbon dioksida terapung dengan memanfaatkan keupayaan gabungan bahagian Luar Pesisir dan Tenaga Baharu (NED).
Bagi segmen kejuruteraan berat, tumpuannya untuk meningkatkan kualiti buku tempahan dan meletakkan halamannya sebagai rakan kongsi pilihan untuk kerja-kerja pembaikan dan penukaran pengangkut LNG.
Hasil pertemuan baru-baru ini, firma itu kekal yakin prospek jangka sederhana MISC, disokong oleh penyewaan jangka panjang dan peningkatan armada yang berterusan walaupun dalam persekitaran ketat.
"Prospek pertumbuhan terus disokong oleh kedudukannya dalam kitaran kapal FPSO dan momentum yang semakin meningkat dalam perkembangan tenaga hijau," tambahnya. - DagangNews.com








