Penyewa tidak perbaharui pajakan, CGS International jangka prospek CapitaLand terjejas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penyewa tidak perbaharui pajakan, CGS International jangka prospek CapitaLand terjejas

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Julai —  Langkah penyewa yang mungkin tidak menyambung pembaharuan tempoh pajakan dijangka menjejaskan prospek CapitaLand Malaysia Trust, kata CGS International (CGSI).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, ia antara risiko utama yang diunjur berlaku sekiranya penyewa terbabit mengambil keputusan tidak meneruskan perniagaan disebabkan oleh pelbagai tekanan luaran.

 

Tambahnya, langkah berkenaan antara tindakan yang dijangka terjadi berikutan pengenaan perluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan penyewaan sejak 1 Julai 2025.

 

"Ramai penyewa berskala kecil dan sederhana dilaporkan tertekan berikutan tidak mampu menyerap kenaikan kadar penyewaan serta mungkin menamatkan penyewaan," kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Ia juga meramalkan CapitaLand berdepan dengan isu peningkatan kadar faedah yang tidak dijangka dan boleh memberi kesan ke atas momentum pertumbuhan kumpulan amanah pelaburan hartanah (REIT) itu.

 

Bagaimanapun tambah firma berkenaan, setakat ini syarikat itu masih lagi kukuh apabila mencatatkan keuntungan bersih RM35.1 juta pada suku kedua 2025, meningkat lima peratus tahun ke tahun (YoY).

 

Keadaan tersebut kata CGSI, memacu keuntungan teras kumpulan itu kepada RM72.6 juta pada separuh pertama tahun ini, iaitu pertambahan lapan peratus YoY yang selaras 47 peratus daripada jangkaan.

 

"Keputusan 1HFY25 yang cukup baik itu didorong terutama sumbangan hasil REIT lebih tinggi daripada Gurney Plaza dan Queensbay Mall di Pulau Pinang serta East Coast Mall di Kuantan, Pahang," katanya.

 

Portfolionya ketika ini tambah firma itu, terdiri daripada enam pusat beli-belah runcit dan dua aset logistik dengan gabungan keluasan boleh sewa bersih yang berkeluasan 0.4 juta meter persegi.

 

Aset runcitnya termasuk Sungei Wang Plaza dan The Mines di Lembah Klang, manakala aset logistiknya ialah Hab Logistik Valdor di Pulau Pinang dan Pusat Pengedaran Glenmarie di Shah Alam, Selangor.

 

Berdasarkan perkembangan semasa itu, CGSI mengekalkan saranan 'beli' ke atas CapitaLand namun harga sasaran disemak semula dengan diturunkan kepada 78 sen sesaham. - DagangNews.com