KUALA LUMPUR 9 Dis - Penyenaraian Orkim Bhd di Pasaran Utama Bursa Malaysia menunjukkan kekuatan yang semakin meningkat dalam ekosistem perusahaan Bumiputera serta keberkesanan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam membangunkan perniagaan yang kompetitif di peringkat nasional, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Katanya, penyenaraian itu juga menunjukkan keberkesanan inisiatif kerajaan menerusi Generating Empowerment and Advancement for Resilient Bumiputeras (GEAR-Up) dan model “relay race” Bumiputera, di mana pelbagai GLIC mengambil peranan yang saling melengkapi pada pelbagai peringkat pembangunan sesebuah syarikat.
“Kita sedang melihat visi GEAR-Up mula terbentuk, di mana satu institusi yang berkeupayaan menyerahkan baton kepada institusi lain untuk membina juara nasional,” katanya pada sidang media sempena penampilan pertama Orkim di pasaran hari ini.

Amir Hamzah berkata, penyenaraian Orkim hari ini menandakan IPO ke-58 tahun ini, sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur yang kukuh dan bahawa peluang tersedia bagi syarikat yang bersedia menerima ketelusan, tadbir urus dan pertumbuhan mampan.
“Saya difahamkan bahawa bahagian runcit telah terlebih langgan kira-kira 13 kali, manakala permintaan institusi ialah kira-kira tiga kali ganda daripada buku pesanan. InsyaAllah, sokongan adalah baik,” katanya.
Sementara itu Amir Hamzah berkata, penawaran IPO di Bursa Malaysia mencatatkan prestasi kukuh tahun ini, dengan jangkaan jumlah penyenaraian akan mencapai 60 syarikat.
Katanya, jumlah IPO tahun ini dijangka mengatasi jumlah tahun lalu iaitu 55 IPO di bursa tersebut.
“Dengan 60 penyenaraian itu, kita akan menghampiri RM30 bilion modal pasaran yang berjaya dikumpulkan di Bursa Malaysia,” katanya.
Mengenai sasaran tahun depan, Amir Hamzah berkata kerajaan mencadangkan agar Bursa Malaysia memberi tumpuan kepada skala penyenaraian dan bukannya bilangan syarikat yang disenaraikan.
“Saya fikir Bursa Malaysia akan mengubah sedikit fokus mereka dengan memberi lebih penekanan kepada usaha menarik syarikat-syarikat besar untuk disenaraikan di Bursa Malaysia, dan memperkukuh Pasaran Utama sebagai sasaran utama.
“Jadi kita sedang berbincang dengan Bursa Malaysia untuk menetapkan sasaran yang bukan hanya mengenai jumlah, tetapi juga saiz pemain dalam pasaran," katanya.
Orkim, syarikat pengangkutan marin membuat debut di Pasaran Utama hari ini pada 92 sen, tidak berubah daripada harga IPO sebanyak 92 sen, dengan 5.40 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








