Penurunan jualan kereta pada 1HFY25 dijangka lemahkan sektor automotif, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penurunan jualan kereta pada 1HFY25 dijangka lemahkan sektor automotif, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Julai — Saham-saham sektor automotif tempatan diramal bergerak lemah berikutan laporan yang menunjukkan jualan kereta merosot 5% pada separuh pertama 2025, menurut penganalisis.

 

Firma-firma penyelidikan yang membuat liputan ke atas sektor itu juga kekal berhati-hati mengenai prospek pada separuh kedua tahun ini sama ada ke atas pasaran kereta nasional atau bukan nasional.

 

UOB Kay Hian (UOBKH) Research telah mengekalkan panggilan 'underweight' ke atas saham automotif, kerana persaingan kekal sengit dengan pemulihan margin yang terhad untuk peningkatan pendapatan.

 

Pilihan utama firma itu masih kekal kepada Pecca Group Berhad, iaitu pengeluar produk penutup tempat duduk kereta, dengan memberi saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) sebanyak RM1.68 sesaham.

 

Katanya, penilaian saham automotif sebanyak 11.8 kali adalah adil, memandangkan prospek pendapatan yang lemah dan pemangkin terhad dengan potensi peningkatan mungkin dihadkan dalam tempoh terdekat.

 

TA Securities pula mengekalkan syor 'neutral' dengan ramalan jumlah jualan industri (TIV) tahun ini sebanyak 700,000 unit sahaja berbanding unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu 780,000.

 

Selain itu, ia juga menetapkan saranan 'pegang' ke atas Sime Darby Bhd dengan TP RM1.66, manakala penarafan 'jual kepada MBM Resources Bhd dengan TP RM4.31 dan Bermaz Auto Bhd dengan TP 75 sen.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research juga mengekalkan pendirian 'neutral' sektor itu kerana persaingan sengit daripada kenderaan elektrik (EV) baharu dengan strategi harga yang kompetitif.

 

Ia menyemak semula TIV kepada 770,000 daripada 750,000 untuk tahun ini berbanding 818,000 pada tahun lepas namun menjangkakan pasaran akan kembali normal walaupun berdepan banyak cabaran besar.

 

Firma itu turut melihat potensi peningkatan, disokong banyak model baharu sepanjang tahun dan usaha pemasaran oleh pengeluar peralatan asal untuk mengekalkan jualan, meskipun mungkin pada kos margin.

 

“Tunggakan tempahan merosot pada suku kedua dan dijangka lemah pada suku ketiga, selari sentimen lemah pengguna kerana prospek ekonomi perlahan dan jangkaan rasionalisasi subsidi petrol,” katanya.

 

HLIB Research mengunjurkan pendapatan automotif menurun tahun ini, didorong oleh TIV lebih rendah dan kos operasi yang tinggi daripada aktiviti promosi agresif tetapi diimbangi kekukuhan ringgit.

 

Pilihan utamanya ialah MBM Resources dengan panggilan 'beli' dan TP RM7.10, disokong pendedahan kepada jenama nasional di bawah Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd. - DagangNews.com