Penurunan harga sewa rumah kurangkan tekanan kos sara hidup, kata Juwai IQI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penurunan harga sewa rumah kurangkan tekanan kos sara hidup, kata Juwai IQI

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Jun - Harga sewa rumah di Malaysia menunjukkan penurunan atau stabil dalam kebanyakan segmen pasaran pada suku pertama 2025, menurut data terbaharu daripada Juwai IQI.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengasas Bersama Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, keadaan itu memberi kelegaan kepada penyewa dan boleh membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.

 

"Purata harga rumah sewa di Malaysia turun kepada RM2,020 pada suku pertama tahun ini, berbanding RM2,052 pada suku sebelumnya. 

 

"Ini adalah penurunan pertama dalam tempoh setahun,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagaimanapun, purata kadar sewa masih 5.2% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Bagi kategori mewah iaitu 10% sewa tertinggi di pasaran, purata kadar sewa ialah RM5,300, hampir tiada perubahan berbanding suku sebelumnya. 

 

Kadar sewa minimum bagi kategori mewah adalah RM3,400.

 

Walaupun kadar sewa di seluruh negara sedikit menurun, Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan ketara dari segi suku tahunan dan tahunan.

 

"Purata sewa rumah di Kuala Lumpur meningkat sebanyak 1.9% kepada RM2,901, jauh melebihi purata kebangsaan RM2,020," kata Kashif.

 

Secara tahunan, kadar sewa di Kuala Lumpur naik 6.0%, lebih tinggi daripada purata negara iaitu 5.2%. 

 

Ini menandakan pemulihan kukuh selepas dua suku sebelumnya mencatatkan prestasi yang lemah.

 

Sebaliknya, kadar sewa di Selangor menurun 0.9% dalam tempoh sama.

 

Menurut Indeks Sewa Rumah Juwai IQI, Kuala Lumpur (82.1) dan Selangor (88.7) masih berada jauh di atas purata nasional (75.1), menunjukkan bahawa kedua-dua negeri berkenaan mencatat pertumbuhan sewa jangka panjang yang lebih tinggi.

 

Kashif turut menjelaskan, walaupun sewa rumah secara umum stabil, terdapat perbezaan ketara antara segmen pasaran. 

 

Katanya, segmen mewah kekal kukuh dan ini memberi peluang pelaburan kepada mereka yang berminat dengan unit premium.

 

"Kadar sewa juga menjadi petunjuk awal kekuatan ekonomi sesebuah kawasan. Pertumbuhan di Kuala Lumpur sejajar dengan pertambahan peluang pekerjaan dan pelaburan asing yang semakin meningkat di ibu negara," tambahnya.

 

Beliau berkata, pasaran hartanah menunjukkan ekonomi sedang berkembang dan menguatkan peranan Kuala Lumpur sebagai pusat utama pertumbuhan negara. - DagangNews.com