KUALA LUMPUR 19 Jan — Walaupun segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kekal sebagai pemacu utama pendapatan Cypark Resources Bhd, prospek jangka terdekat kumpulan itu dilihat terus berdepan cabaran susulan penukaran buku tempahan EPCC yang lebih perlahan daripada jangkaan.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kelewatan dalam pemuktamadan reka bentuk projek dan keputusan pelaburan oleh pelanggan telah menjejaskan kadar penukaran tender kepada kontrak, sekali gus memberi tekanan kepada keterlihatan pendapatan dalam tempoh terdekat.
Sehubungan itu, unjuran pendapatan Cypark telah disemak turun antara 20% hingga 143% bagi mencerminkan sumbangan EPCC yang lebih rendah berbanding jangkaan awal.
Menurut Maybank IB, walaupun berdepan halangan jangka pendek, asas jangka panjang Cypark masih kukuh disokong oleh kehadiran berterusan dalam sektor tenaga boleh baharu, termasuk projek solar berskala besar dan sisa-ke-tenaga.
"Walaupun aktiviti ini dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan jangka panjang, kami mengekalkan saranan HOLD ke atas saham Cypark dengan harga sasaran berasaskan jumlah bahagian (SOTP) yang disemak turun kepada RM0.69 daripada RM0.88 sebelum ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengenai pembangunan loji solar fotovolta berskala besar 100MWac di bawah LSS5+, Maybank IB mengunjurkan projek ini akan menyumbang kira-kira RM2 juta keuntungan selepas cukai (PAT) setahun bermula FY29E, sekaligus menyokong asas pendapatan berulang jangka panjang Cypark.
Cypark menerusi konsortium 49:51 bersama Sunview, telah dianugerahkan kuota untuk membangunkan loji berkenaan pada September 2025.
Konsortium tersebut turut memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB), dengan operasi komersial dijadualkan bermula pada Februari 2028.
Secara berasingan, pengurusan syarikat memaklumkan bahawa pengembangan SMART WtE Fasa 2 kini berada di peringkat kelulusan akhir, menandakan kemajuan penting bagi projek tenaga boleh baharu syarikat.
Menurut Maybank IB, Cypark menyasarkan peningkatan sumbangan segmen EPCC untuk memacu pertumbuhan pendapatan dalam tempoh terdekat, disokong oleh peluang dalam buku tender berjumlah RM3.5 bilion, terutamanya projek solar bersepadu berskala besar dan sistem storan tenaga bateri (BESS).
Namun, Maybank IB menyemak semula unjuran hasil EPCC bagi FY26–28E kepada -80% / -20% / +57.5%, susulan tempoh pemuktamadan reka bentuk projek yang lebih panjang daripada jangkaan pelanggan.
Hasil EPCC FY28E dijangka meningkat dengan pengiktirafan pengebilan yang bersifat tertangguh (backloaded).
Dalam langkah meningkatkan struktur kos pinjaman kumpulan, Cypark telah menebus sepenuhnya Sukuk Perpetual Tranche 1 berjumlah RM235 juta pada Disember 2025.
Langkah ini dijangka mengurangkan agihan kepada sekuriti perpetuiti sekitar 43% bagi FY27–28E, sementara kos pinjaman yang lebih rendah telah dimasukkan ke dalam unjuran syarikat.
Maybank IB melihat inisiatif ini sebagai usaha strategik Cypark untuk mengekalkan kestabilan kewangan dan memacu pertumbuhan pendapatan jangka panjang, walaupun cabaran jangka pendek dalam segmen EPCC masih wujud. - DagangNews.com








