Pentas Flora perkenal minyak ditapis semula berkualiti tinggi ke pasaran Jepun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pentas Flora perkenal minyak ditapis semula berkualiti tinggi ke pasaran Jepun

Lim Aik Fu (kanan), Pengerusi Tribo Japan, Hidekazu Maruyama pada majlis pengumuman pengembangan jualan RRBO ke pasaran Jepun.
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Feb – Pentas Flora, peneraju pengeluar minyak asas ditapis semula (RRBO) dan pakar pengurusan sisa berjadual di Malaysia, mengumumkan pengenalan RRBO berkualiti tinggi dan mampan ke pasaran Jepun, selaras dengan permintaan global terhadap bahan mentah lestari.

 

Dalam kenyataan syarikat itu berkata, Jepun dikenali di peringkat dunia kerana piawaian kualiti yang ketat serta komitmennya terhadap “Monozukuri” – seni pembuatan yang mengutamakan kualiti.

 

Pentas Flora, sebagai antara penapis semula terbesar di rantau ini, mengkhusus dalam pemulihan dan penapisan semula minyak enjin terpakai menjadi RRBO premium serta minyak bahan api mesra alam.

 

Melalui pengenalan RRBO Kumpulan II+ dan Kumpulan III, syarikat berupaya memenuhi keperluan industri Jepun terhadap bahan mentah yang mampan tetapi masih mengekalkan prestasi setanding minyak asas dara.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Pentas Flora, Lim Aik Fu berkata pengembangan ini bukan sekadar pencapaian pertumbuhan perniagaan, ia juga mencerminkan falsafah ‘Cradle-to-Cradle’.

 

"Dengan menukar minyak enjin terpakai kepada minyak asas gred tinggi, Pentas Flora membantu rakan kongsi di Jepun mengurangkan pelepasan Skop 3 mereka dan beralih ke model industri yang berteraskan ekonomi kitaran,” katanya.

 

Langkah strategik ini dijangka memperkukuh kedudukan Pentas Flora sebagai pemain utama dalam sektor RRBO serantau serta membuka peluang baharu dalam pasaran bahan mentah lestari yang semakin mendapat perhatian dunia. - DagangNews.com