Pensijilan MSPO 2.0 bukti komitmen Malaysia mengubah sektor komoditi - Johari Ghani | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pensijilan MSPO 2.0 bukti komitmen Malaysia mengubah sektor komoditi - Johari Ghani

KUALA LUMPUR 13 Jun - Malaysia sedang menggandakan usaha bagai meletakkan dirinya sebagai peneraju global dalam pensijilan komoditi lestari melalui pelaksanaan MSPO 2.0, piawaian yang dipertingkatkan di bawah skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

 

Kelestarian bukan lagi satu pilihan dalam perdagangan tetapi kini menjadi prasyarat, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sambil menyatakan, MSPO 2.0 adalah isyarat jelas komitmen negara untuk mengubah sektor komoditi selaras dengan jangkaan global.

 

"Kami sedang memupuk kelestarian di setiap peringkat, daripada ladang pekebun kecil hinggalah ke rak eksport dan meningkatkan integriti keseluruhan ekosistem. Bukan itu sahaja, kami juga menyasarkan model MSPO ini dapat diterapkan ke semua komoditi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebagai sebahagian daripada visi itu, MSPO 2.0 menjadi tumpuan utama di Ekspo 2025 Osaka, di mana Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menonjolkan komitmen Malaysia untuk menjadikan kelestarian sebagai tonggak utama dalam diplomasi perdagangan dan ekonomi negara.

 

Inisiatif itu menandakan langkah strategik untuk menyelaraskan eksport komoditi Malaysia dengan permintaan global yang semakin meningkat terhadap sumber yang bertanggungjawab dari segi alam sekitar dan sosial.

 

jo ghani
Datuk Seri Johari Abdul Ghani

 

Antara tumpuan utama ialah pengembangan eksport produk sawit hiliran dan bernilai tambah ke Jepun, termasuk lemak khas, tokotrienol, minyak sawit merah dan papan gentian berketumpatan sederhana berasaskan biojisim yang digunakan dalam pembinaan dan pembuatan perabot.

 

Bagi menyokong usaha itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menandatangani beberapa perjanjian perdagangan di Ekspo 2025, dengan sasaran meningkatkan akses pasaran bagi produk berasaskan sawit di Jepun dan seluruh Asia.

 

Kredibiliti eksport Malaysia turut diperkukuh dengan termeterainya kerjasama antara MSPO dan AEON Jepun yang bertujuan meningkatkan keterlihatan produk berasaskan sawit yang diperakui di pasaran runcit Jepun.

 

Produk berlabel MSPO kini sudah mula kelihatan di rak-rak pasar raya, disokong oleh Global Alliance for Sustainable Supply Chain (ASSC) Jepun, yang ahlinya termasuk jenama utama seperti AEON, Meiji, Ajinomoto dan KAO.

 

Piawaian MS 2530:2022 memperkenalkan keperluan yang lebih ketat merangkumi pencegahan penebangan hutan, pelepasan gas rumah hijau, hak pekerja, dan perlindungan kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV).

 

Kemaskini itu membawa skim pensijilan Malaysia lebih selari dengan penanda aras ESG antarabangsa. Dengan 86% sektor minyak sawit negara telah diperakui, Malaysia menyasarkan 95% pensijilan menjelang akhir 2025.

 

Bagi membantu mencapai sasaran itu, kerajaan memperuntukkan RM50 juta di bawah Belanjawan 2025 untuk menyokong pelaksanaan MSPO di seluruh negara. 

 

Ia merangkumi sokongan teknikal, pembiayaan audit, dan alat keterkesanan (traceability), khususnya untuk pekebun kecil persendirian, bagi memastikan penyertaan inklusif dalam rantaian bekalan global yang lestari.

 

Selain minyak sawit, kementerian turut memberi tumpuan kepada kenaf, tanaman industri yang dihargai kerana keupayaan menyerap karbon yang tinggi dan sifatnya yang boleh terbiodegradasi. Dengan permintaan global dijangka melebihi AS$10 bilion menjelang 2032, Malaysia sedang mempergiat usaha membina rangka kerja kelestarian dan keterkesanan yang kukuh bagi komoditi baharu ini.

 

Sepanjang Minggu KPK di Ekspo 2025, lima memorandum persefahaman (MoU) strategik telah dimeterai merangkumi pelbagai komoditi, daripada biojisim sawit dan lada mampan hinggalah kepada inovasi kenaf dan eksport koko. 

 

Perjanjian itu mencerminkan strategi pelbagai komoditi Malaysia untuk meningkatkan kedudukannya sebagai pengeluar produk mampan dan bernilai tinggi.

 

Penyertaan keseluruhan Malaysia di Ekspo 2025 diketuai oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dengan penglibatan lebih 21 kementerian dan 70 agensi yang menyumbang kepada satu pameran nasional yang bersatu. 

 

Sepanjang tempoh 26 minggu acara tersebut, Pavilion Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada forum, demonstrasi produk, sesi padanan perniagaan dan majlis menandatangani perjanjian, sekali gus meletakkan negara sebagai rakan perdagangan dan pelaburan yang berpandangan jauh ke hadapan.

 

Setakat ini, Malaysia telah mencapai 68% daripada sasaran petunjuk perdagangan dan pelaburan sebanyak RM13 bilion untuk Ekspo 2025, membuktikan keberkesanan strategi menyeluruh kerajaan yang meletakkan kelestarian yang diperakui, inovasi dan keterangkuman sebagai teras kepada diplomasi ekonomi globalnya.- DagangNews.com