KUALA LUMPUR 28 Nov - UEM Sunrise Bhd dijangka mencatat keuntungan bersih yang lebih kukuh pada suku keempat 2025 4QFY25 disokong penjualan tanah pusat data (DC) East Ledang bernilai RM146 juta, menurut penganalisis.
CGS International Securities (CGSI) berkata, UEM Sunrise mencatatkan keuntungan bersih teras 3QFY25 yang lebih lemah iaitu RM17.4 juta (-29% qoq, -43% yoy), terutamanya disebabkan pengebilan kemajuan projek yang perlahan.
Firma itu juga turut mengurangkan unjuran EPS FY25F/26F/27F sebanyak 3%/16%/19% masing-masing, berikutan semakan lebih rendah terhadap jangkaan jualan dan pengebilan kemajuan bagi projek berjalan termasuk Collingwood dan Gerbang Nusajaya.
"Hasilnya, harga sasaran (TP) kami turun kepada RM0.60, berdasarkan diskaun lebih lebar 65% (daripada 60%) kepada RNAV sesaham sebanyak RM1.71, selepas semakan pendapatan dan peralihan penilaian kepada FY26F," katanya.
CGSI trurut mengekalkan saranan Hold kerana menjangkakan pendapatan kekal suram sepanjang FY25F–27F, dengan CAGR EPS 3 tahun sebanyak -19%, dipengaruhi tempoh monetisasi yang panjang bagi bank tanahnya yang luas.
"Risiko penurunan termasuk pendapatan yang lemah dan kadar pengambilan projek yang perlahan. Risiko kenaikan pula merangkumi jualan tanah baharu dan kadar pengambilan lebih tinggi bagi projek sedia ada," kata firma itu.
Sementara itu RHB Research turut menjangkakan keuntungan UEM Sunrise pada 4Q25 akan positif disokong oleh pelupusan tanah pusat data.
Firma itu mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran baharu RM1.09 daripada RM1.28, potensi kenaikan 88%.
"Walaupun jualan dan kedudukan kewangan lebih kukuh, kami menurunkan TP bagi mencerminkan penilaian yang lebih berhati-hati selaras dengan sentimen pasaran yang lebih konservatif ketika ini," kata RHB.
RHB turut mengekalkan unjuran keuntungan FY25–27 dengan menjangkakan penjualan tanah pusat data akan dimuktamadkan dalam 4Q25, yang akan meningkatkan keuntungan dengan ketara.
Tambahnya, jualan belum dibil (unbilled sales) menurun kepada RM2.11 bilion daripada RM3.01 bilion pada 2Q25. - DagangNews.com








