Penjualan Edotco mampu hapuskan hutang Axiata, kukuhkan kedudukan kewangan – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penjualan Edotco mampu hapuskan hutang Axiata, kukuhkan kedudukan kewangan – Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Julai — Penjualan Edotco Group berpotensi menghapuskan leveraj dan mengukuhkan kunci kira-kira Axiata Group Berhad secara ketara, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, hutang bersih Axiata yang pada masa ini adalah tiga kali ganda dan meningkat daripada keuntungan operasinya, boleh dikurangkan terus kepada langsung sifar.

 

Tambahnya, penjualan lengkap Edotco iaitu syarikat infrastruktur menara yang dikuasai 63 peratus Axiata, diyakini dapat menyumbang secara material kepada penggearan kumpulan telekomunikasi itu.

 

"Simulasi kami sendiri menunjukkan prospek peningkatan ketara kepada penggearan Axiata jika melepaskan keseluruhan pegangannya dalam Edotco," kata Maybank IB dalam satu nota kajiannya

 

Ia menambah, hutang bersih Edotco selama ini adalah amat besar aitu hampir empat kali ganda daripada pendapatannya sebelum ditolak segala faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan.

 

Axiata kini kata firma tersebut, wajar mengewangkan beberapa asetnya untuk mengurangkan longgokan hutangnya yang besar dan ia telah mengklasifikasikan Edotco sebagai salah satu untuk dilepaskan.

 

Pada Mei 2025, Axiata dilaporkan berkata, hasil daripada potensi pengewangan aset berkenaan, termasuk Edotco, diperuntukkan untuk mengurangkan pelbagai hutang ditanggung syarikat induk.

 

Perancangan itu susulan pada April 2025, Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan mungkin secara bersama memperoleh pegangan Axiata dalam Edotco.

 

"Kami terus melihat keseluruhan ganjaran risiko Axiata sebagai positif, dengan usaha pemulihan kepada keuntungan bersih dan pembaikan kunci kira-kira dapat direkodkan," kata Maybank IB.

 

Selain itu, firma tersebut berpandangan, langkah Axiata ke arah penjualan berkenaan semakin mendapat tarikan dalam kalangan pelabur sebagai pemangkin penilaian semula yang berpotensi.

 

Berdasarkan situasi itu, ia mengekalkan saranaan 'beli' ke atas kumpulan tersebut dengan harga sasaran yang tidak berubah sebanyak RM2.90 sesaham. - DagangNews.com