KUALA LUMPUR 3 Feb - Penjaja skala kecil di Malaysia menyumbang kira-kira 15 peratus daripada tenaga kerja sektor tidak formal pada 2023 dengan 73 peratus daripada mereka tertumpu di kawasan bandar.
Penyelidik kanan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim berkata, keadaan itu menunjukkan daya tahan mereka untuk menyesuaikan diri dengan keperluan isi rumah bandar dengan menyediakan barangan dan perkhidmatan penting kepada pelbagai kumpulan pendapatan.
"Penjaja skala kecil mencerminkan ketahanan dan keupayaan menyesuaikan diri dalam sektor tidak formal Malaysia," katanya memetik kajian KRI.
Jelas beliau, kajian yang dilakukan oleh KRI turut menekankan peranan penting penjaja dalam landskap ekonomi Malaysia, dengan memberi tumpuan kepada bagaimana mereka menyesuaikan diri dalam masyarakat yang semakin moden.
Katanya, penjaja skala kecil bukan sahaja berperanan menyediakan barangan yang mampu milik, tetapi juga menyumbang kepada pengukuhan ekonomi tempatan dan pembentukan identiti budaya negara.
Kajian tersebut turut mendedahkan, kawasan bandar utama seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kota Setar menjadi tumpuan bagi penjaja skala kecil yang mendapat manfaat daripada permintaan pengguna yang tinggi, kuasa beli yang kuat, serta sokongan daripada pihak kerajaan.
Namun, kawasan luar bandar dan kawasan dengan kepadatan rendah berhadapan dengan cabaran seperti kemudahan yang lemah dan aktiviti ekonomi yang terhad, menyebabkan jumlah penjaja di kawasan-kawasan tersebut lebih sedikit.
Kajian itu juga mengenal pasti pelbagai jenis struktur gerai penjaja, termasuk struktur kekal seperti gerai bertiang logam di negeri berpendapatan tinggi serta gerai separa kekal dan gerai bergerak di negeri berpendapatan rendah.
Struktur kekal seperti gerai logam dan restoran penjaja menunjukkan pelaburan modal yang lebih tinggi dan komitmen jangka panjang dalam perniagaan, manakala gerai kecil seperti gerai seunit dan meja mudah alih mencerminkan akses modal yang terhad atau niat perniagaan jangka pendek, yang menunjukkan jurang potensi keusahawanan antara kawasan.
Dr Mohd Amirul menambah, penjaja bukan sahaja penyedia barangan yang mampu milik, tetapi juga menggambarkan budaya dan identiti Malaysia.
"Pendapatan yang semakin meningkat dan penyertaan wanita dalam tenaga kerja telah mengubah tabiat pemakanan, dengan lebih ramai orang memilih makanan yang cepat dan mudah diakses.
"Dalam konteks ini, makanan yang disediakan penjaja menawarkan pilihan yang mudah dan berpatutan yang memenuhi semua peringkat pendapatan," jelasnya.
Selain itu, kajian tersebut turut memberi tumpuan kepada beberapa kesan utama untuk pembuat dasar dan pihak berkepentingan, antaranya menekankan pentingnya sokongan institusi dalam mewujudkan persekitaran yang selesa untuk penjaja.
Ini termasuk menyediakan akses kepada kredit, memperbaiki kemudahan di kawasan kurang padat, serta memastikan dasar yang adil bagi melindungi kehidupan penjaja.
Kajian itu juga menekankan keperluan untuk menangani ketidakseimbangan dalam komposisi gerai penjaja di seluruh negara.
Polisi-polisi perlu mempertimbangkan campur tangan yang berkesan untuk menyokong penjaja di kawasan yang kurang mendapat perhatian, memudahkan peralihan mereka ke struktur kekal dan mencapai kestabilan ekonomi yang lebih besar.
"Menyedari elemen-elemen ini dapat membantu merangka dasar yang bukan sahaja memelihara tradisi perniagaan kecil, tetapi juga memperkuatkan peranan mereka sebagai pemangkin kepada keterangkuman ekonomi," jelas kajian tersebut. - DagangNews.com








