Peningkatan permintaan pusat data, infrastruktur pacu sektor pembinaan Malaysia pada 2025 - Turner & Townsend | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan permintaan pusat data, infrastruktur pacu sektor pembinaan Malaysia pada 2025 - Turner & Townsend

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Julai — Peningkatan perbelanjaan infrastruktur awam dan lonjakan permintaan untuk pusat data terus menjadi pemacu kepada sektor pembinaan Malaysia pada 2025, kata Turner & Townsend.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, industri berkenaan masih stabil meskipun perlu bergelut dengan masalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

 

Tambahnya, purata kos pembinaan di Kuala Lumpur juga kekal secara relatif berdaya saing pada AS$1,354 (kira-kira RM5,741) setiap meter persegi berbanding bandar-bandar lain di Asia Tenggara.

 

"Bagaimanapun, pelaksanaan SST meningkatkan tekanan kos dan mengurangkan margin keuntungan secara menyeluruh," katanya dalam laporan terkini, Global Construction Market Intelligence (GCMI).

 

Sistem cukai itu tambahnya, yang meliputi semua perkhidmatan kerja pembinaan, kecuali bangunan kediaman dan kemudahan awam, secara umum tidak menjejaskan industri pembinaan untuk kekal cergas.

 

Situasi berkenaan kata firma tersebut, dijana projek infrastruktur berskala besar seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang memacu aktiviti sektor awam.

 

Pengarah Urusan Turner & Townsend Asia, Brian Shuptrine berkata, pelaburan swasta, terutamanya dalam infrastruktur digital seperti pembangunan banyak pusat data yang baharu juga dilihat semakin pesat.

 

“Malaysia secara aktif berjaya mengemudi persekitaran kos peralihan melalui pelaburan strategik dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti pembinaan pusat data dan infrastruktur awam,” tambahnya.

 

Beliau berkata, terdapat dorongan kuat ke arah model pendigitalan dan penyampaian kolaboratif, yang membantu pasaran negara ini kekal berdaya saing walaupun menghadapi isu cabaran cukai dan buruh.

 

Selain itu katanya, Malaysia juga melihat peralihan yang beransur-ansur tetapi bermakna ke arah aspek kemampanan menerusi sasaran pengurangan karbon dan amalan perolehan yang lebih hijau.

 

Perkembangan berkenaan kata Shuptrine, mula mempengaruhi cara projek direka bentuk kerana prestasi alam sekitar sudah menjadi ukuran pertimbangan utama bagi pihak berkepentingan awam dan swasta.

 

Menyentuh isu kekangan tenaga kerja, Malaysia tambah beliau, tidak bersendirian kerana tinjauan GCMI mendapati 90.9% pasaran Asia termasuk Singapura, Indonesia dan Vietnam juga melaporkan masalah sama.

 

"Walaupun bekalan buruh am di beberapa negara jiran kekal stabil, kumpulan pekerja teknikal mahir serantau dan profesional 'kolar hijau' tidak cukupi memenuhi permintaan yang meningkat," katanya.

 

Di Malaysia, isu itu mendorong kontraktor menggunakan banyak alat digital dan memperkemas pendekatan pengurusan projek bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan buruh. - DagangNews.com