Peningkatan kos operasi, tiada pembaharuan pajakan dikhuatiri jejaskan Axis REIT - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan kos operasi, tiada pembaharuan pajakan dikhuatiri jejaskan Axis REIT - CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 31 Julai — Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) berisiko mencatatkan hasil lebih rendah jika berlaku peningkatan dalam perbelanjaan operasi, menurut CGS International (CGSI).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, ia antara beberapa kelemahan utama yang dikenal pasti masih membimbangkan kumpulan amanah pelaburan hartanah itu bagi mengelak kerugian jangka panjang.

 

Sementara risiko besar lain yang perlu diberikan perhatian serius oleh pihak pengurusan Axis REIT tambahnya, ialah tiada pembaharuan dalam pajakan sedia ada serta kekurangan jumlah aset baharu.

 

"Bagaimanapun kami yakin kumpulan ini masih stabil dengan mencatatkan pengembalian sewa yang lebih tinggi serta kadar penghunian portfolio yang terus kekal kukuh," kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Kata firma tersebut, Axis REIT dalam taklimat pada 30 Julai 2025 mengenai kedudukan kewangannya telah merekodkan sebanyak 97 peratus penghunian sehingga akhir suku kedua tahun kewangan 2025.

 

Sebaliknya, hanya lapan hartanah mencatatkan penghunian kurang 90 peratus dan pihak pengurusan meramalkan permintaan ruang industri kekal berdaya tahan, disokong oleh ekonomi domestik yang sihat.

 

CGSI turut mengambil perhatian bahawa daripada 0.36 juta meter persegi ruang yang akan diperbaharui pada FY25, sebanyak 58 peratus telah diperbaharui dengan 10 peratus lagi berjaya disewa semula

 

"Pengurusan Axis REIT mengekalkan jumlah nilai saluran pemerolehan kepada RM430 juta, dan yakin ia boleh melaksanakan tawaran ini secara beransur-ansur dalam separuh kedua 2025," kata firma itu.

 

Ia turut mengambil kira kedudukan positif pelbagai aset kumpulan itu terutamanya kemudahan logistik Gred A dan pelbagai fasiliti pembuatan yang terletak strategik di wilayah tengah Semenanjung Malaysia.

 

Walaupun berdepan dengan masalah makro, termasuk tarif Amerika Syarikat (AS) serta pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan pajakan sewa, ia namun masih bersikap positif.

 

Berdasarkan perkembangan semasa itu, CGSI masih mengulangi saranan 'tambah' ke atas Axis REIT dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada sebanyak RM2.28 sen sesaham. - DagangNews.com