KUALA LUMPUR 23 Julai — Life Water Berhad diyakini mampu mencatatkan lonjakan pertumbuhan besar berikutan peningkatan kapasiti pengeluaran produknya, kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Firma penyelidikan tersebut positif terhadap rancangan pengembangannya yang bertujuan menambah kapasiti sebanyak 80 peratus kepada 804 juta liter setahun dalam tempoh dua tahun akan datang.
Katanya, pengeluar pelbagai produk minuman terkemuka di Sabah itu, ketika ini mengendalikan empat buah kilang pembuatan di negeri tersebut dengan jumlah kapasiti tahunan sebanyak 448 juta liter.
"Prospek pertumbuhan Life Water turut dijangka disokong dengan teguh menerusi pelbagai pelancaran produk baharu, termasuk Lemony dan Mandak yang cukup laris," kata PublicInvest dalam notanya.
Selain itu, firma berkenaan yakin momentum tinggi jualannya didorong pengembangan geografi ke pasaran jiran yang luas seperti Sarawak dan Brunei, serta peningkatan aktiviti pelancongan di Sabah sendiri.
Kumpulan tersebut juga katanya aktif mempelbagaikan perniagaan dengan terlibat dalam pembuatan pembungkusan plastik serta mengendalikan beberapa pusat penghantaran dan pengedarannya sendiri.
Perluasan kilang turut dirancang Life Water melalui penyepaduan barisan pengeluaran termasuk Sandakan Sibuga 1 dan 2, yang masing-masing diunjur beroperasi penuh menjelang 2HFY25 dan FY27.
"Berdasarkan perkembangan positif ini, kami memberi penarafan 'outperform' dengan harga sasaran sebanyak 95 sen sesaham ke atas kumpulan tersebut," kata PublicInvest. - DagangNews.com








