Peningkatan aktiviti huluan dijangka pacu perkembangan sektor minyak dan gas tempatan, kata MIDF Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan aktiviti huluan dijangka pacu perkembangan sektor minyak dan gas tempatan, kata MIDF Research 

Gambar hiasan dari laman web rasmi Dialog
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Feb - Prospek sektor minyak dan gas dilihat positif terutamanya aktiviti huluan disebalik konflik geopolitik di Amerika Utara dan Asia Barat, kata MIDF Research. 

 

Menurut laporan aktiviti tahunan yang dikeluarkan oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) baru-baru ini yang melaporkan kejayaan aktiviti huluan penerokaan yang ketara.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan aktiviti penerokaan berterusan dan kontrak perkongsian pengeluaran baharu (PSC) dijangka terus menyokong bahagian itu, dengan penerokaan puncak dijangka pada 2025, diikuti dengan kerja-kerja pembangunan telaga.

 

"Petronas juga menekankan tumpuannya kepada penerokaan dan pembangunan bahagian huluan sehingga 2027.

 

"Kami berpendapat syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) akan kekal sebagai penerima manfaat utama daripada aktiviti huluan, terutamanya OGSE yang berurusan dengan operasi pelantar, penggerudian, EPCC, serta penyelenggaraan dan penambahbaikan," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu berkata, risiko penurunan jangka pendek dalam segmen huluan termasuk pertumbuhan pengeluaran minyak daripada negara bukan pengeksport petroleum (OPEC), permintaan minyak yang lebih perlahan dan peningkatan ketegangan geopolitik berterusan.

 

Selain itu, MIDF juga mengunjurkan harga minyak mentah Brent kekal dalam lingkungan AS$70-80 setong, dengan purata sekitar AS$75 setong pada Februari 2025.

 

MIDF Research juga yakin syarikat OGSE Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada aktiviti huluan baharu dan berterusan, serta penyelesaian penyahkarbonan dan tenaga bersih.

 

"Dalam jangka terdekat, kami menjangkakan pasaran akan kekal dipengaruhi oleh perubahan ekosistem makroekonomi, termasuk kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) (Fed), dasar tenaga yang diperbaharui (RE) AS dan Eropah dan perang teknologi kecerdasan buatan (AI).

 

"Pada ketika ini, kami tetap berhati-hati terhadap kemungkinan kesan perubahan ekonomi global dan kesannya terhadap operasi sektor minyak dan gas, khususnya dalam rantau ASEAN," katanya.

 

Sementara itu, Dialog Group Bhd ("beli", harga sasaran (TP):RM2.72) menjadi pilihan utama MIDF.  - DagangNews.com