Penilaian mahal dijangka hadkan potensi kenaikan saham Oriental Kopi - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penilaian mahal dijangka hadkan potensi kenaikan saham Oriental Kopi - Penganalisis

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 27 Nov - Prospek pengendali kafe Oriental Kopi Holdings Bhd terus positif disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan, namun penilaian yang sudah mahal serta turun naik harga saham menyebabkan penganalisis mengambil pendirian lebih berhati-hati terhadap kaunter itu.

 

Menurut penganalisis, potensi kenaikan saham kini semakin terhad berikutan penilaian yang diregangkan, meskipun prospek syarikat kekal positif dengan peningkatan jumlah pengunjung di pusat beli-belah yang menempatkan rangkaian kafe itu.

 

Hong Leong Investment Bank Research (HLIB) kekal positif terhadap prospek jangka sederhana syarikat dan menaikkan unjuran pendapatan FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 8% dan 6%, bagi mencerminkan trajektori hasil yang lebih kukuh daripada pembukaan cawangan baharu serta peningkatan trafik pengguna.

 

HLIB mengekalkan saranan HOLD tetapi menaikkan TP kepada RM1.22 daripada RM1.13.

 

Firma itu menjelaskan kenaikan harga saham kebelakangan ini telah meregangkan penilaian, sekali gus menghasilkan imbangan risiko-pulangan yang lebih neutral pada paras semasa.

 

Selain peluasan domestik, HLIB berkata syarikat turut meneruskan cita-cita antarabangsa, dengan bekerjasama bersama pengedar luar negara untuk memperkenalkan jenama tersebut di luar Malaysia.

 

“Diversifikasi produk kekal sebagai pemacu pertumbuhan tambahan, dengan menu baharu dan produk makanan bungkus dijangka memperluaskan pilihan penggunaan dan meningkatkan keterlibatan pelanggan.”kata firma itu.

 

Sementara itu, Apex Securities menurunkan penarafan saham tersebut kepada HOLD daripada BELI, namun mengekalkan harga sasaran (TP) pada RM1.26 selepas keputusan suku keempat berakhir 30 September (4Q) berada dalam jangkaan pasaran.

 

Syarikat itu turut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 1 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (FY25).

 

“Kami menjangka segmen kafe Oriental Kopi kekal sebagai pemacu utama pendapatan dalam FY26, disokong oleh penggunaan domestik yang kukuh serta peningkatan perbelanjaan isi rumah di kawasan bandar dan pinggir bandar.

 

“Momentum pelancongan juga menunjukkan pengukuhan, dengan ketibaan antarabangsa dijangka mencecah 35.6 juta menjelang 2026 di bawah kempen Visit Malaysia 2026 — yang dijangka meningkatkan jumlah pengunjung ke pusat beli-belah tempat kafe Oriental Kopi beroperasi,” kata firma itu.

 

MBSB Research pula mengekalkan saranan JUAL dengan TP RM1.03, sambil menegaskan lonjakan harga saham baru-baru ini telah mendorong penilaian ke paras 31.35 kali nisbah harga-perolehan, melebihi gandaan beberapa rakan serantau yang lebih besar.

 

“Prospek pertumbuhan Oriental Kopi kekal disokong oleh peluasan rangkaian kafe serta sumbangan berterusan daripada segmen barangan pengguna bergerak pantas (FMCG),” katanya.

 

Firma itu menambah, pembukaan cawangan baharu membolehkan syarikat memanfaatkan permintaan domestik dan sektor pelancongan yang kembali rancak.

 

Ia turut menyatakan bahawa portfolio makanan bungkus syarikat termasuk produk bermusim seperti kuih bulan, serta usaha pengedaran peringkat awal ke luar negara, menawarkan ruang pertumbuhan tambahan bagi menyokong momentum hasil. - DagangNews.com