KUALA LUMPUR 5 Dis – Pengurusan bakat kini muncul sebagai faktor penentu kejayaan dalam sektor teknologi, sejajar dengan kedudukannya sebagai antara isu material paling penting dalam strategi kelestarian syarikat-syarikat tersenarai, menurut Kenanga Research.
Firma itu berkata, beberapa pemain utama termasuk Inari, MPI, ViTrox, UWC, Unisem, KGB, Oppstar, D&O dan Pentamaster didapati terus melabur secara agresif dalam usaha melatih, memperluas dan mengekalkan kumpulan bakat masing-masing.
Katanya, ini penting bagi memastikan aliran tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berterusan untuk kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.
"Langkah ini juga seiring dengan fokus Strategi Semikonduktor Negara terhadap pembangunan bakat, manakala pelancaran Program Latihan Atas Permintaan yang diterajui Arm, hasil kerjasama antara Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) dan Arm di bawah Malaysia IC Design Park mengukuhkan lagi kepentingan pembangunan modal insan kepada industri," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Inari, ViTrox dan UWC terajui usaha pembangunan bakat
Antara syarikat yang menonjol dalam pengurusan bakat ialah Inari, ViTrox dan UWC, yang kini memperkukuh program latihan tersusun.
Syarikat-syarikat itu juga serta meningkatkan usaha jalinan awal dengan bakat masa depan melalui kerjasama akademik, hab teknologi dan inisiatif pembangunan kemahiran.
"Laporan tersebut menegaskan penekanan kuat terhadap latihan industri, peningkatan nilai kemahiran pekerja, dan strategi retensi yang mampan menjadikan syarikat-syarikat ini lebih bersedia menghadapi peningkatan permintaan semikonduktor global," katanya.
Penarafan ESG dikekalkan; Sektor teknologi kekal OUTPERFORM
Firma penyelidikan mengekalkan kesemua penarafan ESG bagi syarikat di bawah liputannya dan sekali lagi mengulangi pendirian OUTPERFORM untuk sektor teknologi tempatan.
Dua kaunter pilihan utama kekal KGB dengan harga sasaran RM6.15 dan UWC dengan harga sasaran RM3.82
"Kedua-duanya berada pada kedudukan kukuh untuk meraih manfaat daripada kitaran peningkatan perbelanjaan modal (capex) front-end yang sedang berjalan, didorong pemulihan permintaan cip dan pelaburan kapasiti baharu," katanya. - DagangNews.com








