KUALA LUMPUR 24 Julai — EcoWorld Development Group Berhad berpotensi mengukuhkan pengembangan pelaburan hartanah melalui pelbagai usaha pengambilan tanah, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, pemaju hartanah itu berada pada kedudukan pertumbuhan positif selepas melupuskan 166 hektar tanah perindustrian yang memberikan hasil sebanyak RM1.71 bilion.
Sebagai tambahan kepada RM5.22 bilion dalam jualan belum dibilkan dan RM600 juta dalam pembiayaan sukuk, aliran tunai masuk kumpulan itu mampu membiayai modal kerja untuk memulakan projek baharu.
"Ini termasuk pelaburan dalam kemudahan pusat data dan perolehan tanah baharu dengan inisiatif sedemikian akan mendorong EcoWorld ke fasa pertumbuhan tinggi," kata RHB Research dalam notanya.
Ia turut menjangka penggearan bersih kumpulan berlegar di paras semasa sebanyak 0.55 kali dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, memandangkan EcoWorld berada dalam mod pengembangan.
Tambahnya, pendapatan berulang direkodkan pemaju berkenaan daripada pembangunan pusat data akan meningkatkan pendapatan EcoWorld bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Oktober 2028 (FY28).
Hasil tahun tersebut kata RHB Research, sepatutnya menyaksikan lonjakan kuantum pada sumbangan sulung kumpulan itu daripada pusat data dibina untuk pajakan kepada Pearl Computing Malaysia.
“Kami menganggarkan sumbangan awal daripada pendapatan pajakan sekitar RM100 juta sehingga RM110 juta setahun, mewakili lebih 20 peratus daripada anggaran pendapatan kami pada FY27," katanya.
Bagaimanapun ia memberi amaran risiko utama EcoWorld ialah kelembapan yang tidak dijangka dalam pertumbuhan ekonomi dan perubahan tidak menggalakkan dalam peraturan untuk projek pusat data.
Secara am, kata RHB Research, kumpulan berkenaan dilihat sebagai proksi terbaik kepada kitaran naik sektor hartanah semasa Malaysia dengan memiliki tanah strategik di kawasan pertumbuhan.
Antaranya di Lembah Klang dan Iskandar Malaysia di Johor, yang mendapat manfaat daripada projek infrastruktur akan datang serta kemasukan besar pelaburan langsung asing di Johor dan Selangor.
"EcoWorld memiliki jumlah pegangan tanah seluas 1,866 hektar dengan 1,422 hektar, 382 hektar dan 62 hektar masing-masing terletak di wilayah tengah, selatan dan utara," kata firma berkenaan.
Pengewangan pesat bagi 166 tanah perindustrian sepanjang tahun lalu, di samping penggunaan tanah biasa, menunjukkan masa pemulihan tanah yang sangat cekap dan rekod prestasi pengurusan kukuh.
Melangkah ke hadapan, RHB Research berkata, tiga projek utama ditetapkan untuk memacu jualan hartanah EcoWorld untuk FY26 selain ia sudah beberapa tahun memulakan pembangunan lapangan hijau.
Termasuk dalam perancangan kumpulan tersebut ialah Eco Radiance di Semenyih, Selangor; Eco Botanic 3 di Iskandar Malaysia Johor; dan Eco Business Park VII di Negeri Sembilan.
Berdasarkan aliran tunai terurus, firma penyelidikan berkenaan memulakan liputan ke atas EcoWorld dengan saranan 'beli' dan harga sasaran RM3.00 sesaham. - DagangNews.com








