KUALA LUMPUR 19 Dis — Kitaran peningkatan global industri semikonduktor yang masih berkembang serta prospek perbelanjaan modal (capex) segmen front-end yang kekal berdaya tahan dijangka menjadi pemangkin kepada prospek lebih cerah kepada pemain teknologi tempatan, kata Kenanga Research.
Menurut unjuran World Semiconductor Trade Statistics (WSTS), pasaran semikonduktor global dijangka berkembang 22% pada 2025 kepada AS$772 bilion, sebelum melonjak lebih 25% pada 2026 kepada AS$975 bilion, dipacu terutamanya oleh segmen Logik dan Memori.
Pada masa sama, SEMI menganggarkan perbelanjaan peralatan fabrikasi wafer (WFE) kekal kukuh pada AS$116 bilion pada 2025, meningkat kepada AS$125 bilion pada 2026, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap pelaburan front-end di peringkat global.
Sehubungan itu Kenanga mengekalkan pandangan OVERWEIGHT terhadap sektor teknologi, sambil menambah, dalam konteks Malaysia, keadaan ini dijangka terus memihak kepada penerima manfaat segmen front-end seperti Kobay Technology Bhd (KGB) dan UWC Berhad, yang masing-masing mengekalkan penarafan OUTPERFORM dengan harga sasaran RM6.15 dan RM4.38.
Risiko meningkat pada 1HCY26
Bagaimanapun, Kenanga menegaskan tahap keyakinan tidak setinggi sebelum ini berikutan peningkatan risiko pada separuh pertama 2026 (1HCY26), khususnya pada suku pertama.
Antara risiko utama yang dikenal pasti termasuk aliran modal kecerdasan buatan (AI) yang bersifat “kitaran” dan berpotensi memperbesarkan risiko penurunan sekiranya pengewangan AI tidak memenuhi jangkaan.
Selain itu, kekangan bekalan memori yang meningkatkan kos peranti dijangka menekan permintaan pengguna.
Katanya, International Data Corporation (IDC) mengunjurkan penghantaran telefon pintar global pada 2026 menyusut 0.9% tahun ke tahun, dengan risiko limpahan kepada segmen PC dan storan.
Ketidaktentuan berterusan dalam rantaian bekalan automotif yang dikaitkan dengan Nexperia turut menjadi faktor risiko tambahan kepada sektor ini.
Pelarasan penilaian, peluang taktikal
Dari segi penilaian, Kenanga menurunkan gandaan PER sasaran INARI Amertron Bhd kepada 29.3 kali, dengan harga sasaran RM2.20, namun menaik taraf penarafannya kepada OUTPERFORM susulan kelemahan harga saham baru-baru ini.
Bagi segmen perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), pendekatan penilaian yang lebih konservatif terus diguna pakai, dengan SKP Resources Bhd kekal sebagai pilihan utama.
Secara keseluruhan, KGB dan UWC kekal sebagai pilihan teratas berikutan pendedahan tinggi kepada kitaran capex front-end, manakala peluang taktikal turut dikenal pasti dalam INARI, PentaMaster Corp Bhd (harga sasaran RM4.25), SKP Resources (harga sasaran RM0.98) dan NATGATE Holdings Bhd (harga sasaran RM1.08), sejajar dengan jangkaan turun naik pasaran dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com








