KUALA LUMPUR 5 Jun - Syarikat perladangan menjangkakan pengeluaran buah tandan segar (TBS) yang lebih tinggi pada 2025, disokong oleh perkembangan pemulihan yang dijangka mengukuh pada bulan-bulan akan datang, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) Research.
Prospek jangka pendek sektor perladangan bertambah baik terutama segmen hiliran susulan peningkatan ketersediaan bahan mentah.
HLIB Research berkata, kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka terus menurun tahun ini berbanding tahun lepas, dipacu oleh peningkatan pengeluaran TBS serta harga baja yang lebih rendah.
Bagi segmen hiliran, prestasi di kalangan syarikat integrasi seperti IOI Corp Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd dan SD Guthrie Bhd menunjukkan prestasi campuran.
"Kami percaya prestasi tidak sekata ini disebabkan pemulihan permintaan produk oleokimia yang tidak seragam di pelbagai wilayah geografi, selain perbezaan strategi pelindungan risiko dan penukaran mata wang dalam segmen penapisan," kata HLIB Research dalam satu nota kajian.
HLIB Research melaporkan enam daripada lapan syarikat perladangan dalam liputannya mencatat hasil kewangan suku tahunan mengikut jangkaan.
Namun, keputusan kewangan TSH Resources Bhd melepasi jangkaan, manakala FGV Holdings Bhd pula mencatat prestasi di bawah jangkaan.
Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu mengekalkan anggaran harga MSM pada RM4,000 setan bagi 2025 dan RM3,800 setan bagi 2026, dengan jangkaan pemulihan pengeluaran berterusan terutamanya dari Indonesia, akan terus mengehadkan kenaikan harga dalam tempoh jangka pendek hingga sederhana.
"Antara saham pilihan kami ialah SD Guthrie (RM5.17), Johor Plantation Group Bhd (RM1.35), dan IOI Corp (RM4.24)," tambahnya.
HLIB Research juga mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor ini.- DagangNews.com








