Pengecualian cukai kepada pelabur diberikan selepas proses tapisan ketat - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengecualian cukai kepada pelabur diberikan selepas proses tapisan ketat - Amir Hamzah

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 26 Nov - Pengecualian cukai kepada pelabur hanya diberikan selepas proses tapisan ketat yang bertujuan memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan baharu, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Beliau menjelaskan kerajaan menawarkan insentif cukai untuk tempoh tertentu sebagai sebahagian daripada strategi promosi pelaburan, namun ia tidak pernah bersifat automatik dan bukan semua permohonan diluluskan sepenuhnya.

 

amir hamzah 5

 

“Bagi membawa masuk pelaburan, kita membenarkan pengecualian cukai untuk tempoh tertentu. Kadangkala pengecualian itu tidak diberi sepenuhnya… hanya sebahagian.

 

“Ini penting kerana kita bersaing dengan banyak negara lain untuk menarik pelabur yang sama.

 

“Dari perspektif kementerian, kelulusan tidak pernah dibuat secara sewenang-wenangnya. Ia mesti melalui proses yang betul,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat semalam.

 

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mencadangkan syarikat teknologi asing mungkin terlepas daripada cukai dengan membuat sumbangan politik besar.

 

Syed Saddiq turut menegaskan Kementerian Kewangan mempunyai kuasa luas untuk meluluskan pengecualian cukai, dan beliau ingin mengetahui syarikat serta individu yang telah menerima pengecualian cukai utama sejak beberapa tahun lalu serta jumlah keseluruhan liabiliti cukai yang telah dihapus kira.

 

Amir Hamzah berkata, sebarang cadangan pelaburan besar yang memohon insentif cukai perlu terlebih dahulu dinilai oleh Jawatankuasa Pelaburan Negara.

 

“Apabila pelabur ingin masuk dan memohon insentif, permohonan itu wajib melalui jawatankuasa berkenaan.

 

“Kita melihat sama ada pelaburan itu strategik, meneliti dasar cukai sedia ada dan menilai sama ada insentif diperlukan untuk menarik pelaburan tersebut,” jelasnya.

 

Beliau menambah, pendekatan berstruktur itu menjadi asas kepada rangka kerja pemberian insentif kerajaan, yang turut disemak secara berkala bagi memastikan ia kekal relevan.

 

“Ini prinsip yang kita ikut. Kajian dibuat setiap tahun dan bagi tujuan penambahbaikan, kita akan terus membuat semakan.

 

“Jika ada cara lebih baik atau penambahbaikan yang boleh diperkenalkan, saya terbuka untuk mempertimbangkannya,” katanya. - DagangNews.com