KUALA LUMPUR 14 Julai – Perebutan kuasa dalam Lembaga Pengarah PRG Holdings Bhd semakin panas apabila Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Pengarah Eksekutifnya, Andrew Chan Lim-Fai meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta, hanya beberapa hari selepas sekumpulan pemegang saham menggesa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan bagi merombak barisan pengarah syarikat.
PRG berkata, Chan, 47, telah memaklumkan kepada Lembaga Pengarah mengenai keputusannya untuk meletakkan jawatan pada 6 Julai lalu demi "kepentingan terbaik syarikat".
Lembaga Pengarah turut melantik Pengarah Urusan perniagaan kecekapan tenaga kumpulan, Steven Kang, sebagai pengganti Chan, selain melantik Shahjanaz Kamaruddin sebagai pengarah baharu.
Kang mempunyai pengalaman dalam bidang kecekapan tenaga, bangunan hijau, pusat data, sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC), pembangunan perniagaan serta khidmat nasihat teknikal.
Shahjanaz pula ialah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Hextar Industries Bhd selain rakan kongsi di firma guaman Azlin Shaharbi and Associates.
EGM mahu rombak Lembaga Pengarah
Peletakan jawatan Chan berlaku ketika syarikat berdepan tekanan daripada sekumpulan pemegang saham yang diketuai pemegang saham kedua terbesar, Datuk Sheah Kok Fah bersama beberapa pemegang saham lain yang mewakili lebih 10% pegangan syarikat, bagi mengadakan EGM untuk merombak Lembaga Pengarah.
Ia merupakan percubaan kedua Sheah untuk menyingkirkan Chan selepas usaha sama dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Jun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Sheah Kok Fah sekali lagi minta EGM diadakan bagi menyingkirkan Andrew Chan di PRG Holdings
Kumpulan itu mencadangkan pelantikan Sheah, Datuk Richard George Azlan Abas dan Datuk Dr. Teo Tong Kooi sebagai pengarah baharu, selain menyingkirkan semua pengarah yang dilantik sebelum EGM kecuali calon yang mereka kemukakan.
Sheah yang memiliki 8.14% kepentingan dalam PRG sebelum ini membangkitkan isu tadbir urus korporat, termasuk dakwaan urus niaga pihak berkaitan yang tidak didedahkan membabitkan cadangan penyelesaian hutang RM37.17 juta dengan Premier De Muara Sdn. Bhd. (PDM).
PDM dikaitkan dengan pemegang saham terbesar PRG, Datuk Ng Yan Cheng yang memiliki 16.39% kepentingan dalam syarikat itu, manakala Chan yang merupakan warganegara Amerika Syarikat ialah menantu kepada Ng.
Cadangan penyelesaian hutang itu berkait dengan projek Picasso Residence, yang mana anak syarikat pembinaan PRG, Premier Construction (International) Sdn. Bhd. (PCI), dilantik sebagai kontraktor utama oleh PDM.
Kemelut belum reda
PRG berkata, Lembaga Pengarah menerima peletakan jawatan Chan dan merakamkan penghargaan atas sumbangan beliau kepada kumpulan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Menurut syarikat itu, Chan kini sedang membantu memastikan proses peralihan tugas kepada penggantinya berjalan lancar.
PRG turut memaklumkan semakan bebas oleh PKF Covenant Equity Consulting Sdn. Bhd. berhubung transaksi antara PCI dan PDM akan diteruskan tanpa gangguan, manakala syarikat akan meneruskan tindakan bagi mendapatkan semula wang yang didakwa terhutang kepada kumpulan melalui saluran undang-undang.
Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, PRG berkata PCI sedang berunding dengan tiga subkontraktor bagi menyelesaikan tuntutan statutori berjumlah kira-kira RM633,000 berkaitan projek Picasso Residence secara baik.
Tuntutan itu melibatkan HOD Construction Sdn. Bhd. sebanyak RM57,162.24 bagi kerja granit, Symmetry Engineering Sdn. Bhd. sebanyak RM519,640.10 bagi kerja penyaman udara dan pengudaraan mekanikal, serta CML Plumbing Sdn. Bhd. sebanyak RM56,395.23 bagi kerja pemasangan saluran paip air hujan.
Pada masa sama, PRG turut berdepan tuntutan pembayaran RM21.22 juta daripada Ng berhubung pendahuluan pemegang saham yang didakwa masih belum dijelaskan.
Ng memberi tempoh 21 hari kepada PRG untuk melunaskan jumlah tersebut. Sekiranya gagal, beliau boleh mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan petisyen penggulungan terhadap syarikat.
Tuntutan itu dibuat selepas PCI menuntut RM64.24 juta daripada PDM bagi kerja pembinaan Picasso Residence yang telah disiapkan. Pada 9 Julai lalu, PCI mengumumkan akan memulakan prosiding penggulungan terhadap PDM bagi mendapatkan semula bayaran tersebut. - DagangNews.com








