KUALA LUMPUR 29 Julai — Penganalisis mengekalkan saranan 'beli' terhadap Yinson Holdings Berhad selepas kumpulan kejuruteraan marin tersebut berjaya memperoleh kontrak yang besar di Vietnam.
Kenanga Research dan CIMB Securities mengulangi gesaan tersebut selepas kedua-dua firma penyelidikan ini melihat kontrak yang bernilai sekitar AS$600 juta (kira-kira RM2.54 bilion) itu sebagai amat positif.
Berdasarkan anggaran perbelanjaan modal AS$200 juta (RM846.7 juta) dan kadar diskaun 9.3 peratus, ia menganggarkan pertambahan aliran tunai diberi diskaun ke atas Yinson sebanyak satu sen sesaham.
“Sumbangan pendapatan yang dijangkakan adalah minimum pada RM13 juta, atau tiga peratus daripada ramalan keuntungan selepas cukai bagi tahun kewangan berakhir 2026," katanya dalam nota kajian.
Semalam, kumpulan itu melalui usaha sama (JV) PTSC South East Asia Pte Ltd, telah dianugerahkan kontrak oleh Phu Quoc Petroleum Operating Company untuk kawasan Blok B luar pesisir di barat daya Vietnam.
Ia melibatkan penyediaan, penyewaan, operasi dan penyelenggaraan kapal penyimpanan dan pemunggahan terapung (FSO) untuk tempoh 14 tahun, dengan pilihan untuk lanjutan lagi sehingga sembilan tahun.
Tambah Yinson, kapal tersebut akan menyokong pengeluaran gas di kawasan itu, bertujuan membekalkan 5,073.5 juta meter padu standard gas setahun kepada pelanggan di kompleks kuasa Ca Mau dan O Mon.
"Memandangkan rekod prestasi mantap di Vietnam dan limbungan yang biasa sebelum ini digunakan untuk kapal Lam Son, kami melihat risiko pelaksanaan kontrak adalah amat terhad," kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan berkenaan juga menganggap projek tersebut akan dapat dibiayai sepenuhnya secara dalaman, memandangkan skalanya yang sederhana dan struktur kerjanya terjamin dalam bentuk JV.
Berdasarkan kepada potensi positif kontrak terbaharu itu, ia masih lagi mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Yinson dengan harga sasaran (TP) yang dinaik taraf diunjur menjadi RM3.16 sesaham.
Sementara itu, CIMB Securities menyifatkan pemerolehan itu merupakan kemenangan strategik yang mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pemilik dan pengendali aset luar pesisir bebas terkemuka.
"Apabila dapat beroperasi, Yinson dijangka bersedia untuk mendapat banyak manfaat yang besar daripada aliran pendapatan cukup stabil dan berulang daripada FSO Blok B," kata firma tersebut.
Ia menganggarkan projek berkenaan boleh menghasilkan kadar pulangan dalaman sebanyak 9.3 peratus dengan mengesahkan penarafan ‘beli’ ke atas Yinson, dengan potensi TP diramal RM2.93 sesaham.
Perkembangan itu disokong oleh keterlihatan pendapatan jangka panjang yang kukuh daripada buku tempahannya bernilai AS$19.6 bilion (kira-kira RM82.9 bilion), menjangkau hingga 2048. - DagangNews.com








