Pengambilalihan tanah kukuhkan prospek hartanah Sunway di kawasan pertumbuhan utama - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengambilalihan tanah kukuhkan prospek hartanah Sunway di kawasan pertumbuhan utama - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Jan - Pengambilalihan tanah terbaharu oleh Sunway Berhad dijangka mengukuhkan lagi kehadiran hartanah kumpulan itu khususnya di bandar-bandar pertumbuhan utama, sekali gus menyokong prospek jualan baharu jangka panjangnya.

 

MBSB Research berkata, langkah strategik tersebut selari dengan hala tuju pertumbuhan Sunway dalam segmen hartanah, dengan pembiayaan pengambilalihan dirancang melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman serta pinjaman.

 

"Kesan terhadap kedudukan kewangan kumpulan dijangka terhad," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MBSB Research berkata, susulan pengambilalihan itu, gearan bersih Sunway dianggarkan meningkat secara marginal kepada 0.48 kali berbanding 0.47 kali pada suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25).

 

Dalam pada itu, MBSB Research mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap Sunway Berhad, dengan harga sasaran (TP) disemak naik kepada RM5.34 daripada RM5.18 sebelum ini.

 

Semakan tersebut dibuat selepas pelarasan penilaian nilai aset bersih direalisasi (RNAV) bagi bahagian hartanah, termasuk mengambil kira sumbangan RNAV daripada pengambilalihan tanah terkini.

 

Unjuran pendapatan bagi tahun kewangan FY25 hingga FY27 turut dikekalkan, dengan pandangan bahawa sebahagian besar pemangkin positif berkaitan pengambilalihan dan prospek pertumbuhan telah pun dicerminkan dalam harga saham semasa. 

 

Sunway semalam mengumumkan pengambilalihan tiga bidang tanah utama di Lembah Klang dan Pulau Pinang dengan jumlah pertimbangan pembelian sebanyak RM180 juta.

 

Kumpulan itu memaklumkan telah memeterai tiga Perjanjian Jual Beli (SPA) bagi memperoleh tanah di Puchong dan USJ 1, Selangor, serta di Georgetown, Pulau Pinang, dengan keseluruhan transaksi dijangka diselesaikan pada separuh pertama tahun kalendar 2026 (1HCY26).

 

Di Puchong, Sunway akan memperoleh tanah seluas 6.77 ekar daripada Glomac Al-Batha Sdn Bhd pada harga RM97.3 juta, di Subang Jaya pula membabitkan pengambilalihan tanah seluas 1.12 ekar di USJ 1 pada harga RM21 juta, manakala di Pulau Pinang, kumpulan itu akan memperoleh tanah pegangan bebas seluas 1.05 ekar di Jalan Pangkor, Georgetown pada harga RM61.45 juta.

 

Tanah di Puchong Bandar Metro itu dicadangkan untuk pembangunan pangsapuri servis dengan komponen runcit. Projek berkenaan mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM770 juta, yang menterjemahkan kepada nisbah kos tanah kepada GDV sekitar 12.6%.

 

Tanah di Subang Jaya, pembangunan yang dicadangkan merangkumi pangsapuri servis serta peluasan Sunway International School, dengan GDV indikatif sebanyak RM207 juta. Ini bersamaan nisbah kos tanah kepada GDV yang lebih rendah iaitu 10%.

 

Tanah di Pulau Pinang pula dicadangkan untuk pembangunan pangsapuri servis bersama lot runcit, dengan GDV indikatif sekitar RM274 juta. Nisbah kos tanah kepada GDV bagi projek ini adalah lebih tinggi iaitu 22%, mencerminkan lokasi tanah yang premium di kawasan teras Georgetown. - DagangNews.com