Pengambilalihan 48% saham Marvesa bakal kukuhkan kedudukan SD Guthrie di pasaran minyak Eropah, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengambilalihan 48% saham Marvesa bakal kukuhkan kedudukan SD Guthrie di pasaran minyak Eropah, kata penganalisis

Gambar hiasan dari laman web rasmi SD Guthrie
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Feb - Pengambilalihan saham dalam Marvesa Supply Chain Services yang berpangkalan di Belanda oleh SD Guthrie Bhd dijangka meningkatkan kedudukan kumpulan dalam pasaran minyak dan lemak Eropah.

 

PublicInvest menyifatkan perjanjian tersebut membolehkan SD Guthrie mengembangkan kehadirannya dalam sektor bukan sawit, manakala Marvesa boleh memanfaatkan kedudukan kukuh SD Guthrie dalam industri minyak sawit Asia Tenggara.

 

"Selain itu, SD Guthrie boleh memanfaatkan pangkalan pelanggan sedia ada Marvesa produk minyak sawit mampan yang diperakui, yang menyumbang 12% daripada bekalan global.

 

"Walaupn SD Guthrie bakal memperoleh banyak manfaat daripaa Kerjasama ini, kami mengekalkan saranan "neutral" keatas saham kumpulan dengan harga sasaran (TP) RM4.85," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Anak syarikat SD Guthrie, SD Guthrie International Ltd. (SDGI), mengumumkan pengambilalihan 48% saham ekuiti dalam Marvesa dengan harga RM250 juta, bertujuan untuk menembus pasaran makanan haiwan dan biofuel Eropah.

 

MIDF Research menyatakan kerjasama itu dijangka memberi manfaat kepada SDGI dengan meningkatkan jumlah dagangan dalam lesitin, soya dan minyak lembut lain, yang sejajar dengan strategi SDGI dalam mempelbagaikan kepada sektor bukan sawit.

 

Firma itu juga berkata, menerusi perkonsian itu, SD Guthrie kekal komited mengembangkan kehadirannya di Eropah. 

 

Selain itu, kumpulan tersebut juga akan berusaha menjalin kerjasama  dengan Marvesa, meneroka peluang pertumbuhan, terutamanya di rantau Utara dan Tengah Asia Pasifik, Asia Barat dan Afrika.

 

"Langkah strategik ini dibina di atas rantaian bekalan SD Guthrie yang mantap, iaitu membekalkan minyak sawit mentah (MSM) 100% diperakui Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

 

"Ini menjadikan Marvesa sebagai rakan kongsi yang ideal untuk melayani pelanggan daripada 11 negara. 

 

"Kumpulan juga akan memanfaatkan kilang penapisan Marvesa di Zwijndrecht,Belanda yang mempunyai kapasiti 300,000 tan metrik setiap tahun," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN:Subsidiari SD Guthrie ambil alih 48% saham ekuiti syarikat Belanda, Marvesa Supply Chain pada harga RM250 juta

 

MIDF Research berkata, jika pemerolehan itu dibiayai melalui pinjaman, penggearan bersih diunjurkan meningkat sebanyak 25%. 

 

"Unjuran kami mencerminkan peningkatan 5%, yang masih dianggap dalam julat penggearan bersih purata sektor itu sebanyak 19 hingga 25 kali ganda.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan panggilan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM5.43 sesaham," katanya. - DagangNews.com