Penduduk Sarawak nikmati diskaun 25% serta-merta, hanya dipaparkan pada bil mulai Jun 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penduduk Sarawak nikmati diskaun 25% serta-merta, hanya dipaparkan pada bil mulai Jun 2026

Oleh Muhammad Iman

KUCHING 20 Apr - Diskaun 25 peratus bagi bil elektrik domestik di Sarawak akan diberikan secara automatik tanpa perlu sebarang pendaftaran atau permohonan, kata Sarawak Energy.

 

Bagaimanapun, diskaun bagi penggunaan elektrik pada April 2026 hanya akan dicerminkan dalam bil Jun 2026, menurut syarikat utiliti itu dalam satu kenyataan.

 

Kenyataan itu menyusuli pengumuman Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Khamis lalu (16 April) bahawa pengguna tarif domestik akan menikmati diskaun tersebut sehingga Disember tahun ini.

 

Menurut Sarawak Energy, diskaun itu meliputi penggunaan elektrik dari April hingga Disember tahun ini dan akan ditunjukkan dalam setiap bil bulanan pelanggan.

 

Inisiatif itu dijangka memberi kelegaan kewangan segera kepada kira-kira 714,000 pelanggan tarif domestik di seluruh Sarawak.

 

Hubungi Sarawak Energy

Sarawak Energy turut menggalakkan pelanggan yang menerima bil anggaran supaya menghubungi syarikat itu bagi memastikan diskaun dipaparkan dengan tepat berdasarkan penggunaan sebenar.

 

Bagi tujuan pelarasan, pelanggan boleh menghantar dokumen sokongan seperti gambar bil anggaran dan bacaan meter semasa melalui e-mel kepada [email protected], ejen maya Carina atau SEB Cares (melalui fungsi ‘Make a Report’).

 

Selepas pengesahan dibuat, jumlah bil akan diselaraskan bagi memastikan diskaun yang diberikan adalah berdasarkan penggunaan elektrik sebenar.

 

Maklumat lanjut mengenai bil dan pelaksanaan akan dikemas kini melalui laman web Sarawak Energy, platform media sosial rasmi serta saluran perkhidmatan pelanggan.

 

Pelanggan juga dinasihatkan supaya merujuk hanya kepada saluran rasmi ini bagi mendapatkan maklumat yang tepat serta berwaspada terhadap kandungan tidak sahih daripada sumber tidak rasmi.

 

“Sarawak Energy menyokong sepenuhnya usaha kerajaan Sarawak dalam meringankan kos sara hidup isi rumah di tengah-tengah tekanan ekonomi global semasa,” katanya.

 

Untuk pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy 24 jam di 1300-88-3111, berinteraksi dengan Carina atau e-mel kepada [email protected].

 

Aplikasi mudah alih SEB Cares juga boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store. - DagangNews.com