Pendapatan T7 Global diyakini naik dipacu perkhidmatan penyelenggaraan – BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan T7 Global diyakini naik dipacu perkhidmatan penyelenggaraan – BIMB Securities

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 13 Jun – Pendapatan T7 Global dijangka meningkat dipacu perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM), menurut BIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kelewatan kontrak sistem pengendalian bagasi akibat kekangan logistik diimbangi oleh prestasi MCM dan aktiviti penamatan telaga minyak.

 

"T7 Global kekal sebagai syarikat baharu yang sedang muncul dalam segmen penyelenggaraan luar pesisir dan penamatan telaga," katanya dalam satu nota kajian.

 

Bermula suku kedua 2025 (2Q25), kumpulan itu akan menumpukan kepada pelaksanaan buku pesanan bernilai RM4.4 bilion.

 

Sebahagian besar daripadanya terdiri daripada kontrak MCM serta kerja penyambungan dan pentauliahan yang diperoleh daripada pelanggan baharu di Semenanjung Malaysia termasuk Jadestone Energy, IPC Malaysia, dan Petrofac (M-PM304) Ltd.

 

Kumpulan itu turut memperoleh kontrak melibatkan 53 telaga untuk kerja penutupan dan penamatan (P&A) daripada Petronas, yang dijangka siap menjelang 2027 atau 2028.

 

Pelantar Enya yang dikhususkan untuk kerja P&A telah menyiapkan sembilan telaga di Sabah dan kini digerakkan ke Semenanjung Malaysia.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1Q25), pendapatan syarikat meningkat kepada RM138.8 juta berbanding RM132.5 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Kos kewangan bagaimanapun melonjak lebih dua kali ganda kepada RM17.6 juta.

 

"Disebabkan kos kewangan yang tinggi, kami menyemak semula unjuran pendapatan FY25 hingga FY27, diturunkan antara 25% hingga 31%," kata firma penyelidikan itu.

 

Keuntungan bersih turut meningkat kepada RM7.04 juta daripada RM4.61 juta, disokong oleh sumbangan unit pengeluaran luar pesisir mudah alih (MOPU) TSeven Shirley yang beroperasi di medan Nong Yao, Thailand sejak 3Q24 serta permintaan lebih tinggi bagi produk pakar.

 

Namun, unjuran semasa masih menunjukkan pertumbuhan pendapatan terkompaun tahunan sebanyak 11% bagi tempoh FY24 hingga FY27.

 

Setakat 1Q25, jumlah pinjaman kumpulan mencecah RM1.4 bilion dengan nisbah hutang bersih kepada dana pemegang saham berada pada paras tertinggi 3.3 kali pada 3Q24 susulan pembelian pelantar jack-up Enya dan pembiayaan dua projek MOPU, iaitu T7 Elise dan Shirley.

 

T7 Global merancang menurunkan nisbah hutang kepada dua kali menjelang akhir 2026.

 

Firma penyelidikan tersebut masih mengekalkan saranan "beli" terhadap T7 Global dengan harga sasaran 46 sen, bersamaan 7.1 kali nisbah harga kepada pendapatan FY25.- DagangNews.com