KUALA LUMPUR 31 Dis — Pertumbuhan pendapatan SMRT Holdings Bhd dijangka kekal terhad walaupun kumpulan itu memiliki asas hasil berulang bermargin tinggi, berikutan kadar pelanggan yang tinggi serta perubahan status cukai yang bakal menjejaskan keuntungan bersihnya.
Affin Hwang Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata kira-kira 62% hasil SMRT diperoleh daripada perkhidmatan terurus berulang yang menyokong aliran tunai stabil, manakala pelaksanaan projek menyumbang kepada pertumbuhan tambahan.
Tenaga Nasional Bhd (TNB) kekal sebagai pelanggan terbesar SMRT, menyumbang sekitar 72% daripada hasil kumpulan bagi tahun kewangan 2024 (FY24).
Menurut Affin Hwang, TNB telah mencapai automasi pengagihan di 32,868 pencawang setakat ini. Dengan portfolio aset keseluruhan sekitar 100,000 pencawang, wujud peluang pertumbuhan dalaman kepada SMRT selari dengan kesinambungan inisiatif grid pintar oleh TNB.
SMRT sebelum ini telah melengkapkan transformasi strategik daripada sebuah konglomerat pelbagai kepada pemain Internet of Things (IoT) tulen, selepas melupuskan perniagaan pendidikan dan menggabungkan sepenuhnya anak syarikat IoT, N’osairis.
Kini, kumpulan menyediakan penyelesaian sambungan IoT hujung ke hujung serta perkhidmatan terurus kepada sektor utiliti, perkhidmatan kewangan dan industri intensif infrastruktur di Malaysia, Indonesia dan Filipina.
“Penetapan semula strategik ini menghasilkan model perniagaan yang lebih ringkas, kunci kira-kira yang bersih serta keterlihatan pendapatan yang lebih jelas, disokong oleh hasil berulang,” kata Affin Hwang.
Firma itu memulakan liputan ke atas SMRT dengan penarafan Pegang dan harga sasaran 57 sen. Keuntungan sebelum cukai dijangka meningkat antara 3% hingga 9% setahun dari FY26 hingga FY28, disokong oleh pertumbuhan hasil.
Bagaimanapun, keuntungan bersih teras diunjurkan menyusut antara 4% hingga 11% bagi FY26 hingga FY27 susulan tamatnya status cukai perintis kumpulan. - DagangNews.com








