Pendapatan sektor perbankan dijangka terus catat peningkatan sehingga 2026, kata Affin Hwang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan sektor perbankan dijangka terus catat peningkatan sehingga 2026, kata Affin Hwang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Feb - Momentum pendapatan bank-bank Malaysia dijangka meningkat sehingga 2026, kata Affin Hwang Capital.

 

Katanya, ia berikutan pertumbuhan pinjaman yang lebih teguh, pemulihan dalam pasaran semikonduktor global dan peningkatan aktiviti pelancongan.

 

Selain itu ia dibantu perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, pemulihan dalam pasaran hartanah dan penggunaan kenderaan elektrik yang lebih meluas ketika pemasangan stesen pengecasan sedang dipertingkatkan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan pinjaman itu disokong keadaan ekonomi yang menggalakkan, pecutan infrastruktur domestik dan projek pembinaan, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan peningkatan pelaburan tenaga boleh diperbaharui (RE) di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.

 

Ia menjangkakan pertumbuhan pendapatan bersih bagi sektor perbankan meningkat 9.2% pada 2024, 5.9% pada 2025 dan 4.2% pada 2026.


"Pendorong utama ialah pendapatan operasi, yang pendapatan berasaskan dana dijangka mencakupi 70% hingga 71% daripada jumlah pendapatan operasi, manakala pendapatan bukan faedah akan menyumbang sekitar 29% hingga 30%," katanya dalam satu nota kajian.

 

Affin Hwang berkata, caj kredit bersih diunjurkan kekal stabil pada 21 hingga 23 mata asas, menunjukkan risiko kredit terkawal.

 

Sementara itu, nisbah kos kepada pendapatan dijangka kekal dalam lingkungan 45 hingga 46%, mencerminkan kecekapan operasi yang mampan.

 

Kapasiti pembayaran hutang isi rumah, yang berjumlah 35% pada Jun 2024, kekal disokong oleh keadaan pasaran buruh dan pertumbuhan gaji yang menggalakkan, manakala unjuran operasi perniagaan menjadi lebih optimis.

 

“Kami menjangkakan nisbah pinjaman terjejas kasar sistem akan cenderung kepada 1.4% menjelang akhir 2025 daripada 1.44% pada 2024.

 

"Kami mengunjurkan margin faedah bersih kepada purata pada 2.07 hingga 2.11% dari 2025 hingga 2026 berikutan pertumbuhan pinjaman pada 6% setahun," kata Affin Hwang.

 

Affin Hwang menyatakan, bank Malaysia mempunyai pengkhususan dalam bidang utama, seperti CIMB dan Maybank yang bersaing dalam perbankan rentas sempadan Johor-Singapura.

 

Sementara itu, Maybank mendahului dalam pembiayaan hartanah pusat data, RHB Bank berkembang di Johor dan Sarawak, Affin memberi tumpuan kepada sindiket pinjaman di Sarawak dan Public Bank dan Hong Leong Bank menguasai pasaran pinjaman runcit. - DagangNews.com