KUALA LUMPUR 6 Mac - Pendapatan QES Group Bhd dipercayai kurang dipengaruhi oleh turun naik pasaran dan ia disokong oleh buku pesanan pengedaran yang kukuh antara RM55 juta hingga RM60 juta dan kepelbagaian pasaran.
Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) berkata, pengeluar peralatan ujian automatik (ATE) itu telah mula melihat peningkatan dalam pertanyaan dan menjangkakan lebih banyak penghantaran pada separuh kedua selepas kadar perlahan tahun lepas.
Katanya, QES Group menyasarkan untuk mencapai sumbangan 30% daripada jualan pembuatan dalam jangka panjang dengan mengukuhkan kedudukannya di China dan India melalui pelancaran model peralatan baharu.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi jangka pendek, ia menjangkakan pertumbuhan jualan antara 2% ingga 10% peratus bagi segmen pengedaran dan pembuatan tahun ini.
"Di bawah segmen pembuatan, kumpulan itu terus memberi tumpuan kepada sistem pengendalian automatik yang menyasarkan pelanggan fabrikasi wafer di seluruh pasaran ASEAN, Eropah, China dan AS.
"Kumpulan itu telah menghantar tiga unit kepada syarikat tersenarai awam di China dan berpotensi melihat lebih banyak pesanan menjelang pertengahan tahun," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu menyatakan, QES Group juga melancarkan sistem pemeriksaan optik automatik baharu yang dipanggil pemeriksaan visual penderia automatik bagi pelanggan teknologi perubatan yang berpangkalan di Pulau Pinang, dengan penghantaran pertama tamat bulan lepas.
"Syarikat berpendapat ia berpotensi menerima tempahan yang menggalakkan apabila menerima maklum balas positif," katanya.
Sementara itu, kilang baharu QES Group di Batu Kawan dijadualkan beroperasi secara komersial pada separuh kedua dan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk mencapai tahap pulang modal.
Syarikat itu merancang menggunakan kilang bagi memenuhi tempahan pembuatan peralatan dari China, yang mana sebahagian ruang lantai telah dipajakkan kepada syarikat usaha samanya, Applied Engineering Technology.
Ia juga menerima pertanyaan daripada pemain pengeluar peralatan asal China untuk menggunakan kilang baharu itu untuk tujuan pembuatan produk.
Firma penyelidika itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak 64 sen sesaham. - DagangNews.com








