Pendapatan korporat Malaysia Q2 merosot tetapi prospek pasaran semakin cerah - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan korporat Malaysia Q2 merosot tetapi prospek pasaran semakin cerah - RHB Research

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Sept - Pendapatan korporat bagi suku Jun 2025 mencatatkan penyusutan di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan global dan ketegangan geopolitik, namun penganalisis RHB Research menyifatkan keputusan tersebut secara keseluruhan masih selaras dengan jangkaan.

 

Hanya 13.3% syarikat di bawah liputan RHB Research mengatasi ramalan, manakala 36.7% ketinggalan — namun isyarat pemulihan mula kelihatan untuk baki tahun ini.

 

Dua sektor — perladangan dan permainan (gaming) — menunjukkan prestasi mengatasi jangkaan, manakala hartanah, penjagaan kesihatan dan sarung tangan getah mengecewakan.

 

Penyusutan unjuran pendapatan ketara datang daripada Petronas Chemicals, diikuti sektor teknologi, penjagaan kesihatan, produk getah, telekomunikasi, serta Guan Chong. Pemotongan ini sebahagiannya diimbangi oleh semakan positif terhadap saham perladangan.

 

Syarikat-syarikat modal besar (large-cap) dalam indeks FBM KLCI lebih kukuh berbanding pasaran secara keseluruhan, dengan unjuran pendapatan hanya dipotong sebanyak 0.7% bagi 2025 dan 0.3% bagi 2026 — lebih sederhana berbanding pemotongan untuk keseluruhan bakul RHB iaitu 1.7% dan 1.1%.

 

Antara penyumbang penyusutan terbesar ialah Petronas Chemicals, CIMB, Public Bank, IHH Healthcare dan CelcomDigi, sementara kaunter perladangan dan Hong Leong Bank mencatatkan semakan positif.

 

RHB Research berkata, panduan daripada pengurusan syarikat-syarikat besar kini semakin optimis, disokong oleh jangkaan persekitaran operasi yang lebih stabil, kejelasan tarif yang bertambah baik, langkah rangsangan kerajaan, pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) serta pengukuhan ringgit — faktor-faktor yang dijangka memperkukuh sentimen perniagaan dan pengguna.

 

Dolar Amerika

Dari sudut strategi, RHB menegaskan persekitaran global kekal “amat cair”, dengan ketegangan AS-China mempercepatkan gerakan multi-polarity dipacu BRICS dan trend nyah-dolar (de-dollarisation) secara beransur-ansur.

 

Penyusutan struktur dolar AS dalam jangka panjang boleh mengalihkan aliran portfolio ke pasaran sedang pesat membangun yang berpotensi memberi manfaat kepada Malaysia.

 

Walaupun asas pendapatan korporat mengehadkan potensi kenaikan, kecairan domestik yang kukuh, langkah sokongan fiskal dan dana tepi (side-lined cash) dijangka menghadkan risiko penurunan pasaran.

 

Sehubungan itu, RHB menaikkan sasaran FBM KLCI hujung 2025 kepada 1,620 mata, berbanding 1,600 mata sebelumnya, dengan menggunakan nisbah harga-perolehan (P/E) hadapan 15 kali — lebih tinggi daripada purata tujuh tahun iaitu 14.5 kali — disokong oleh kejelasan tarif AS yang semakin baik dan keadaan kecairan yang stabil.

 

“Kami percaya prestasi rendah relatif pasaran domestik pada 2025 telah pun mengambil kira sebahagian besar risiko yang wujud,” kata RHB Research. - DagangNews.com