KUALA LUMPUR 13 Jun - Saham Ping Edge Technology Bhd membuat penampilan sulungnya di Pasaran LEAP Bursa Malaysia hari ini pada 24 sen iaitu peningkatan sebanyak 4.4% berbanding tawaran awam permulaannya (IPO) 23 sen seunit.
Syarikat tersebut yang kedua disenaraikan di Pasaran LEAP tahun ini melonjak kepada 35 sen pada pukul 9.30 pagi.
"Penyenaraian Ping Edge di Pasaran LEAP menandakan merupakan pencapaian penting dalam perjalanan korporat kami dan ia merupakan hasil kerja keras pasukan,” kata Pengarah Urusan Ping Edge, Soh Yeow Seng.
Syarikat itu terlibat dalam perdagangan peralatan dapur dan perkhidmatan makanan komersial melalui platform dalam taliannya.
Kitchen Arena, platform utama syarikat, memberi tumpuan kepada penjualan peralatan baharu, manakala Murah Kitchen pula mengkhusus dalam perdagangan peralatan terpakai.
Syarikat ini menawarkan lebih 430 jenama peralatan dapur dan perkhidmatan makanan komersial, termasuk Frezmac, Modelux, Unox, Fresh, Redor, Powerline, Snow, Fagor, Robot Coupe, dan Aeglos.
Pada harga terakhir, Ping Edge mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM78 juta dan menilai syarikat itu hampir 27 kali ganda daripada pendapatan terkini.
Kumpulan itu telah mengumpul RM5.15 juta melalui penyenaraian ini menerusi penempatan secara persendirian.
Daripada jumlah tersebut, 19.4% akan diperuntukkan untuk penubuhan bilik pameran tambahan berserta kemudahan stor di Pulau Pinang, 9.7% untuk pengembangan keupayaan digital, 46% bagi modal kerja, dan baki 24.9% untuk perbelanjaan penyenaraian.
Pasaran LEAP merupakan platform yang dipacu oleh penasihat dan direka untuk menawarkan syarikat baharu yang sedang berkembang, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), akses pengumpulan dana yang lebih luas serta pendedahan yang lebih tinggi melalui pasaran modal.
TA Securities bertindak sebagai penasihat yang diluluskan, ejen penempatan, dan penasihat berterusan untuk IPO itu.- DagangNews.com







