Penamatan kontrak perkhidmatan KDN tidak jejaskan hasil Zetrix AI, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penamatan kontrak perkhidmatan KDN tidak jejaskan hasil Zetrix AI, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Julai — Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menamatkan kontrak perkhidmatan diyakini tidak menjejaskan pendapatan Zetrix AI Berhad pada ketika ini, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan berkenaan masih lagi terlibat dalam penyediaan untuk perkhidmatan permit pekerja asing melalui operasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

 

Tambahnya, perkhidmatan sistem berkenaan tetap boleh diteruskan lagi menerusi kerjasama syarikat tersebut, yang sebelum itu dikenali sebagai MyEG Services Berhad, dengan HeiTech Padu Berhad pula.

 

"Justeru, kami melihat tiada ancaman kepada pendapatan kumpulan pada masa ini walaupun kontrak bagi perkhidmatan permit pembaharuan pekerja asing telah ditamatkan," kata MBSB Research dalam notanya.

 

KDN semalam mengesahkan Zetrix AI tidak lagi terlibat dalam proses pembaharuan permit pekerja asing berikutan kontrak dengan kerajaan yang pernah dilanjutkan sejak Julai 2023 telah pun berakhir.

 

Mengulas lanjut, firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mulai 29 Julai 2025 masih terlibat dalam projek NIISe yang bertujuan untuk mengintegrasikan semua sistem kawalan sempadan negara ini.

 

MBSB Research menambah, ia memahami bahawa perkhidmatan yang sedia ada sedang dipindahkan secara progresif kepada sistem baharu apabila Jabatan Imigresen menggunakan NIISe mulai Oktober 2025.

 

"Kami mengambil perhatian, langkah ini meningkatkan keselamatan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan NIISe bernilai RM892.2 juta diberikan kepada HeiTech Padu pada Oktober 2024," katanya.

 

Kontrak itu memerlukan HeiTech Padu mengkaji, mencadangkan, mereka bentuk, membangunkan, membekal, menghantar, memasang, menguji, menyepadukan, memindahkan, serta menyediakan latihan.

 

Ia adalah untuk tempoh 60 bulan bermula dari 18 Oktober 2024 dengan Zetrix AI dan HeiTech Padu memulakan perkongsian untuk terlibat dalam projek e-kerajaan semasa dan akan datang di Malaysia.

 

Tambah MBSB Research, pihaknya percaya bahawa kelemahan harga saham Zetrix AI didagangkan baru-baru ini sebenarnya mewakili peluang yang baik untuk pelabur mula mengumpul saham kumpulan tersebut.

 

"Berdasarkan situasi itu, kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran juga tidak berubah RM1.25 sesaham selepas mengikuti penjelasan kumpulan berkenaan," katanya. - DagangNews.com