Pemulihan sektor teknologi dibimbangi terjejas disebabkan kelemahan dolar AS - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan sektor teknologi dibimbangi terjejas disebabkan kelemahan dolar AS - CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Julai — Faktor kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) dibimbangi menjejaskan usaha pemulihan pendapatan bagi sektor teknologi pada tempoh separuh kedua 2025, kata CIMB Securities.


Firma penyelidikan tersebut namun berkata, impaknya berkemungkinan adalah minimum untuk para pemain perkhidmatan pembuatan elektronik yang besar seperti VS Industry Berhad dan SKP Resources Berhad.


Situasi berkenaan katanya, memandangkan keupayaan mereka untuk melalui aliran turun naik pertukaran kadar mata wang asing kepada pelanggan meskipun dengan jurang tipikal antara tiga hingga enam bulan.


"Walaupun ada masalah mata wang, kami menjangkakan pertumbuhan jualan sektor ini adalah satu digit yang rendah dalam keputusan pada suku kedua akan datang," kata CIMB Securities dalam nota kajiannya.


Perkembangan tersebut tambahnya, kemungkinan besar disokong teguh menerusi sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen peralatan ujian automatik, dengan diketuai oleh syarikat ViTrox Corp Berhad.


Kumpulan itu katanya, telah memacu pertumbuhan jualan antara tujuh sehingga 15 peratus pada suku kedua, didorong oleh nisbah buku kepada bil yang sihat iaitu 1.3 kali ganda dan momentum tempahan.


Kata CIMB Securities, segmen pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar diramal sederhana, susulan permintaan domestik stabil di China dan tempahan konsisten dari pasaran pelayan tujuan umum.


"Ini secara am sejajar dengan unjuran pertumbuhan jualan purata kebanyakan syarikat semikonduktor analog global terkemuka seperti Texas Instruments sebanyak 3.8 peratus dari suku ke suku," katanya.


Pemain yang lain tambah firma berkenaan, seperti STMicroelectronics juga telah menandakan pemulihan, dengan panduan pertumbuhan jualan secara purata sekitar tujuh peratus untuk tempoh suku kedua.


Menurut Counterpoint Research, produk iPhone mencatatkan peningkatan 15 peratus tahun ke tahun dalam jualan global pada April dan Mei 2025, sebahagian besar didorong permintaan kukuh di pasaran utama.


CIMB Securities berkata, pertumbuhan jualan di AS dan China juga disokong oleh pasaran seperti India dan Jepun, dengan dilihat sebagai manfaat jangka pendek untuk vendor frekuensi radio (RF) tempatan.


"Meskipun ini menggambarkan potensi pembelian menjelang kenaikan harga disebabkan pelaksanaan tarif timbal balik AS, kami melihat ini amat positif jangka pendek bagi vendor RF di Malaysia," katanya.


Lonjakan permintaan ini juga tambahnya, boleh menyokong penambahan inventori secara jangka pendek, terutamanya dalam unjuran telefon pintar generasi baharu yang akan dilancarkan pada suku ketiga.


CIMB Securities mengekalkan sarana 'neutral' terhadap sektor teknologi, dengan menilai permintaan lemah di luar bidang kecerdasan buatan (AI), masalah mata wang dan tekanan kos yang berterusan.


Kesemua faktor itu katanya, mempengaruhi prospek pemulihan walaupun permintaan produk dipacu AI dan cip memori kekal kukuh, namun pertumbuhan sektor adalah tidak sekata. - DagangNews.com